PANEL pembentang yang menyertai program di UKM, semalam.
HM Digital

Bangi: Usaha mengangkat seni silat Melayu sebagai bahan ilmiah dan rujukan di institusi pengajian tinggi (IPT) negara perlu terus diperkasa dan bukan hanya dikenali dengan ketangkasan serta kehebatan fizikalnya semata-mata.

Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Supyan Hussin berkata, seni silat Melayu lambang akal budi yang terangkum di dalamnya tentang falsafah hidup, pemikiran, perlakuan, emosi dan gaya hidup.

“Zaman dahulu, seni silat ini kehebatannya terkenal dalam istana, diangkat sebagai wira hulubalang yang terhebat dan hari ini ia menaikkan nama negara dalam sukan silat olahraga.

“Namun demikian, ilmu seni silat belum lagi diangkat ke dalam alam ilmiah akademik bagi memastikan ianya tidak tenggelam ditelan arus kemodenan.

“Jika silat tidak didokumentasikan, ilmu seni silat itu akan hilang bersama gurunya apabila mereka meninggal dunia sama ada pengalaman atau bahan lisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Metro Ahad pada Siri Wacana ATMA berjudul Seni Silat Melayu: Falsafah dan Keilmuan Seni Silat Gayung Fatani di UKM di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Supyan berkata, wacana itu bertujuan memastikan seni silat tidak hanya menjadi sukan olahraga, sebaliknya mengumpul bahan asal usul seni Melayu itu daripada beberapa pembentang kertas kerja untuk dijadikan rujukan pada masa hadapan.

Antara tajuk pembentangan ialah Falsafah Silat Pulut, Bahasa dan Silat, Halatuju Silat Dalam Sukan Di Malaysia dan Antarabangsa dan Seni Silat Dalam Industri Kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 7:02 AM