WAWRINKA mulakan musim dengan cemerlang.
AFP

Rotterdam, Belanda: Stanislas Wawrinka memenuhi koleksi trofi kejuaraan apabila menundukkan juara bertahan dari Republik Czech, Tomas Berdych 4-6, 6-3, 6-4 sekali gus meraih kejuaraan dalam dewan kali pertama pada Kejohanan Tenis Dunia ATP Rotterdam, kelmarin.

Pemain berusia 29 tahun itu kini boleh berbangga dengan pelbagai trofi kejuaraan termasuk siri 250 (enam) dan siri 500 ATP, Masters 1000 di Monte Carlo tahun lalu, Terbuka Australia 2014, pingat emas beregu Sukan Olimpik Beijing 2008 bersama Roger Federer selain kejuaraan sulung Switzerland pada Piala Davis yang dimenangi November lalu.

“Saya amat gembira memenangi kejuaraan siri 500 pertama, terutama dalam dewan. Memang menakjubkan untuk menang trofi, ia sangat mengujakan,” kata Wawrinka.

“Satu minggu yang mengagumkan, saya meningkat dalam setiap perlawanan, ia final hebat. Tomas bermain baik, saya gembira berjaya mencari jalan untuk memenangi kejuaraan.

“Permainan saya memang menjadi hari ini, saya menekannya hingga penamat. Saya amat gembira dengan cara saya bermain.”

Pemain nombor lapan dunia itu berharap dengan jadual bijak dan ketekunan, dia boleh terus mencipta sejarah peribadi di gelanggang.

“Saya memulakan musim dengan amat bagus (trofi ketiga di Chennai dan separuh akhir di Melbourne). Yang penting tahun ini adalah fokus hari demi hari. Saya perlu terus bekerja dan cuba meningkat.

“Apabila melakukannya, saya sedar keputusan akan hadir. Saya harap boleh bermain cemerlang sepanjang tahun, tidak terlalu banyak mengalami persembahan turun naik.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 7:59 AM