GAMBAR hiasan
Erika George
cnews@nstp.com.my

LELAKI yang dipercayai merompak dan menetak ibu kandungnya yang berusia 61 tahun di sebuah rumah di Kawasan Perumahan MNLG, di Bintulu, Rabu lalu, ditahan semalam.

Difahamkan, suspek berusia 36 tahun ditahan di Terminal Bas Bintulu, jam 2.15 petang semalam, ketika cuba menaiki bas untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah.

“Ketika ditahan, kita turut menemui beberapa dokumen dan barangan milik mangsa yang dilarikan suspek pada hari kejadian. Ini akan dijadikan bahan bukti untuk tujuan pendakwaan.

“Hasil ujian saringan air kencing dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, dengan penahanan suspek itu, polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Bintulu esok bagi mendapatkan permohonan tahanan reman," katanya.

Difahamkan, susulan kejadian, ibu suspek mengalami kecederaan serius dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam oleh anak lelakinya itu.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 10:38 AM