PELAJAR Turki teruja untuk merasai masakan tradisional Terengganu pada Program Lawatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke Kampung Seri Kenangan. Foto STR/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


“TAK sangka baunya ‘busuk’, tetapi rasanya sangat sedap,” kata Fatmanur Gocer, 21, yang pertama kali merasai keenakkan buah durian.

Dia antara 43 pelajar Turki yang mengikuti program Lawatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke Kampung Seri Kenangan di Permaisuri.

Fatmanur berkata, dia tahu mengenai raja buah itu kerana menjadi sebutan, namun tidak pernah merasainya lalu tidak mahu melepaskan peluang apabila dihidangkan raja buah itu.

“Patutlah ramai pelancong asing mencubanya muntah kerana baunya terlalu kuat dan ‘busuk’, tetapi pada saya rasanya sangat sedap. Saya juga teruja mencuba rambutan, pulasan dan manggis yang memang sedap,” katanya.

Rakannya, Merve Kaya, 22, berkata dia terpegun melihat keindahan hutan di negeri ini dan berpendapat Terengganu memang sesuai diketengahkan sebagai lokasi pelancongan yang menarik untuk dilawati.

“Saya terpesona dengan keindahan alam semulajadi, keunikan budaya dan kemesraan penduduk setempat. Semua yang ada di negeri ini unik dan sukar diperolehi di negara lain.

“Saya rasa bertuah terpilih mengikuti program ini kerana ia memberi pengalaman berbeza. Saya mahu meneroka lebih banyak lagi tempat menarik dan unik di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) UniSZA Prof Dr Ramlee Abdullah berkata, pelajar Turki itu ialah peserta Program Mobiliti Pemerkasaan Bahasa Inggeris di UniSZA yang diadakan selama sebulan.

“Kampung Seri Kenangan dipilih kerana lokasinya menarik, selain mempunyai landskap sangat indah dan komitmen penduduk dalam memberi kerjasama melancarkan program.

“Peserta berpeluang mencuba pelbagai masakan orang kampung antaranya lemang periuk kera, lempeng kelapa, gulai ikan baung dan sayur pucuk rebung,” katanya.

Katanya, program itu diharap dapat memberi pengalaman baru kepada peserta dan secara tidak langsung mempromosikan produk industri pelancongan di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 5:48 PM