JUAN Martin (kanan) mudah tewaskan Nishikori 6-2, 6-2. Manakala Cilic (kiri) mara ke pusingan keempat dengan mengatasi Pospisil 7-5, 7-6 (7/4) .
AFP

MIAMI: Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat, Marin Cilic dan Juan Martin del Potro mara ke pusingan keempat tenis Terbuka Miami hari ini dengan kemenangan straight-sets.

Pemain Argentina yang juga pilihan kelima, del Potro, yang mengejar kejuaraan ATP Masters kedua, mengatasi pemain Jepun, Kei Nishikori 6-2, 6-2.

Berkedudukan keenam dunia selepas menewaskan pemain hebat Switzerland, Roger Federer pada final Indian Wells minggu lalu, del Potro hanya memerlukan 73 minit untuk menempah tiket ke pusingan keempat dan akan bertemu Filip Krajinovic dari Serbia, yang menewaskan pemain Perancis, Benoit Paire 6-3, 6-3.

Pilihan kedua, Cilic juga mara ke pusingan keempat dengan kemenangan 7-5, 7-6 (7/4) mengatasi pemain Kanada, Vasek Pospisil.

Cilic dan del Potro adalah antara nama besar yang masih berada dalam saingan selepas Federer dan Novak Djokovic tersingkir awal dan Rafael Nadal serta Andy Murray tidak menyertainya kerana kecederaan.

Del Potro, pemain terbaik pada jelajah ATP ketika ini, sebenarnya mencari mahkota ketiga berturut-turut selepas kemenangan di Acapulco dan Indian Wells.

Kemenangannya di padang pasir California adalah yang pertama dalam acara Masters 1000, kejuaraaan diharapkannya selepas kecederaan yang hampir menyebabkan dia bersara pada 2015.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 8:15 AM