PERODUA Alza baharu.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Kenderaan pelbagai guna (MPV) popular Perodua Alza kini tampil dengan wajah baharu yang lebih terkini melalui beberapa ciri dan rekaan luaran lebih segar.

Model MPV kompak tujuh tempat duduk mampu milik itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu Standard, SE dan Advance dengan harga bermula RM51,490 hingga RM62,690 tanpa insurans.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin, berkata Alza baharu menawarkan keselesaan, praktikaliti, fleksibiliti dan ruang yang cukup untuk tujuh individu menjadikannya MPV pilihan rakyat Malaysia sejak sedekad lalu.

“Dengan ruang simpanan yang banyak dan konfigurasi tempat duduk fleksibel, Alza terbaharu ini sesuai untuk aktiviti keluarga dan kegunaan harian.

“Lebih 344,200 unit Alza dijual sejak pengenalan model itu pada 2009,” katanya.


REKAAN bampar belakang lebih bergaya.

Menurut Zahari, untuk ciri keselamatan, Alza baharu dilengkapi pelbagai ciri terkini dan diberi penarafan keselamatan empat bintang ASEAN NCAP.

“Tempahan model baharu ini sudah dibuka dan dipamerkan di bilik pameran Perodua seluruh negara secara berperingkat bermula 6 September lalu,” katanya.

Perodua Alza dikuasakan enjin 1.5L 3SZ-VE DVVT yang dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.


RUANG dalaman diperkemas.

Antara ciri baharu ialah grafik panel instrumen dan kluster tengah yang direka semula dan kunci kawalan jauh ‘two-motion’ dan penambahbaikan aliran pendingin hawa ke barisan tempat duduk ketiga.

Semua varian dilengkapi lampu kabus depan, spoiler belakang, stereng balutan kulit, filem tingkap keselamatan dan solar, sensor belakang serta tayar aloi 15 inci dengan kemasan warna perak pada varian Standard dan titanium pada varian SE dan Advance.


SISTEM Infotainmen berasaskan Android.

Ciri hiburan juga dipertingkatkan apabila varian Standard dan SE dipasang dengan sistem audio dengan fungsi USB dan Bluetooth.

Sementara varian Advance dilengkapi monitor pada bumbung dan sistem multimedia dengan skrin sentuh berasaskan Android dengan fungsi capaian pintar (Smart Link), Bluetooth, navigasi dan kamera undur.

Sudut luaran pula, varian SE dan Advance lebih menonjol dengan bampar hadapan baharu, gril bersama bar berkembar dan skirting sisi selain rekaan bampar belakang dan kemasan baharu di bahagian belakang.


PADANAN meter baharu dan aliran pendingin hawa untuk kerusi barisan ketiga.

Untuk ciri keselamatan, Alza 2018 dilengkapi dua beg udara hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak di barisan tengah.

Model ini didatangkan dalam warna putih, perak, ungu dan biru selain warna baharu kelabu untuk varian SE dan Advance.


CAGAK ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 12:45 AM