PERUBAHAN ketara Peugeot 508.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Sekilas pandang, ramai tidak menyangka sedan dipandu penulis ketika berada di Monte Carlo, baru-baru ini, adalah keluaran Peugeot.

Namun begitulah realitinya apabila masing-masing menyangka model berkenaan adalah keluaran negara asing atau buatan Amerika Syarikat (AS) terutama apabila melihat bahagian belakang sedan berkenaan.

Penulis juga terkejut dengan reka bentuk model terbaru ini yang lebih kelihatan sado atau di AS, mereka menggelarkannya sebagai ‘muscle car’.

Namun, peredaran zaman membolehkan jentera ‘sado’ ini direka bentuk bukan untuk kelajuan semata-mata, juga menjadi sedan keluarga yang serba mewah dan menarik. Inilah buah tangan terbaru Peugeot daripada keluarga 508.

Apa yang pasti, Peugeot 508 bukan lagi kenderaan untuk ‘golongan pesara’ atau golongan korporat sebaliknya mampu menarik minat golongan muda atau mereka yang mahukan sebuah sedan keluarga.


BAHAGIAN belakang umpama jentera Amerika.

Untuk makluman pembaca, model ini kali pertama diperlihatkan kepada umum pada Pameran Motor Geneva 2018, Mac lalu, hingga mendapat pujian banyak pihak.

Seperti sebuah ‘muscle car’, Peugeot 508 hadir dengan reka bentuk kontur luaran lebih lebar dan agresif jika dilihat daripada segenap sudut.

Perumah lampu hadapan direka dengan ciri futuristik menempatkan sepasang lampu utama projektor dan lampu nyalaan siang (DRL) LED seakan-akan taring yang bersambung ke bampar.


SEDAN yang menepati selera golongan muda.

Gril hadapan dengan rekaan tiga dimensi (3D) seperti model 3008 dan 5008 dengan logo singa terpampang megah di tengahnya.

Bahagian belakang pula menempatkan perumah lampu berbentuk lebih tirus dan tipis dengan tiga jalur cahaya ‘kuku singa’ untuk lampu brek.

Walaupun dikategorikan sebagai sedan Segmen D, ciri sporty tidak dipinggirkan apabila model ini didatangkan bersama spoiler ‘duck tail’ dan diffuser yang diapit dua ekzos berkembar.


PINTU frameless cetus imej sport.

Tidak cukup dengan itu, rekaan pintu turut menonjolkan imej sama dengan ciri ‘frameless’ untuk semua bingkai tingkap.

Menjengah ke ruang kabin, padanan warna gelap pada setiap ruang bermula daripada kokpit, kerusi dan panel pintu menjadikannya lebih premium

Rekaan stereng berbentuk D, butang kawalan pada papan pemuka yang tersusun kemas dan tombol gear lebih moden berjaya mengubah persepsi lapuk model 508.


KERUSI pemandu dan penumpang hadapan potongan bucket

Tahniah kepada pereka Peugeot i-Cockpit yang menampilkan kemasan serba mewah dan menarik.

Model 508 tetap menampilkan kemasan kayu, aluminium dan satin untuk kepelbagaian, menimbulkan suasana tenang pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.

Panel instrumen turut mencuri perhatian penulis apabila sistem audio dilengkapi sistem bunyi Focal yang menghasilkan bunyi mengagumkan.


RUANG kokpit bergaya dan kemas.

Sepanjang tempoh pandu uji, penulis ditemani rakan media daripada Pandulaju.com.my, Gan Yong Li, mengelilingi sekitar Monaco sehingga ke kawasan pergunungan sejauh hampir 200 kilometer (km) dari pusat bandar.

Oleh kerana sedan ini pemanduan sebelah kiri dan hanya berpandukan sistem kedudukan global (GPS), penulis perlu lebih berhati-hati kerana undang-undang jalan raya di Eropah sangat ketat.


KONSOL tengah menempatkan tombol gear dan ruang barang.

Mujur setiap pengguna jalan raya di negara maju ini berdisiplin tinggi dan berhemah. Tiada kenderaan berat dipandu pada lorong paling laju seperti memandu kereta sport atau penunggang motosikal melakukan lagak ngeri untuk mencari perhatian.

Untuk maklumat pembaca, Monaco adalah kota permotoran dunia dan di sini terletaknya Circuit de Monaco sebagai antara litar dalam kalendar Formula Satu (F1).


TOMBOL gear rekaan terkini.

Oleh kerana itu, jentera seperti Bentley, Ferrari, Porsche dan jenama mewah lain mudah dilihat menyusuri jalan sekitar bandar ini.

Penulis juga tidak segan memandu Peugeot 508 baharu ini kerana bentuknya juga memukau.

Peugeot 508 terbaru hadir dengan pelbagai variasi enjin antaranya 1.6L Twin-Scroll High Pressure (THP) petrol turbo, 1.5L turbo diesel dan 2.0L turbo diesel.


PAPARAN meter paparkan GPS.

Penulis difahamkan, pengedar jenama Peugeot Malaysia, Nasim Sdn Bhd hanya akan membawa masuk varian 1.6L THP untuk pasaran tempatan.

Sepanjang pemanduan, nadi enjin 1.6L THP menawarkan 225 kuasa kuda (hp) pada 5,500 rpm dan daya kilas 300Nm pada 2,500rpm sudah mencukupi untuk memacu jentera ini ke hadapan.

Padanan kotak gear automatik lapan kelajuan memastikan setiap tujahan kuasa disalurkan ke roda dengan pantas dan responsif.


METER pelbagai fungsi.

Walaupun dicatatkan sedan ini mengambil masa hanya 7.3 saat untuk mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) daripada kedudukan pegun manakala kelajuan maksimum adalah 250 km/j, penulis tidak mengujinya di negara asing ini, kecuali penulis adalah bekas pelumba rali yang fasih membaca GPS atau peta tulip.

Namun keselesaan, kejituan casis dan kelajuan yang dirasai sepanjang memandu uji sekitar Monaco ini sudah cukup membuatkan penulis berasa sangat kagum.

Oleh kerana model ini akan dibawa masuk ke negara ini tahun hadapan, penulis tidak mendapat maklumat lengkap mengenai spesifikasi penuh kerana setiap satu pastinya berbeza antara negara.


RUANG penyimpanan luas.

Maklumat lebih lengkap hanya akan diperoleh apabila jentera sedan ini dilancarkan secara rasmi di negara ini yang dijangka pada suku kedua 2019.

Apa yang penulis boleh katakan ketika ini, tunggu pelancarannya jika ada dalam kalangan pembaca bercadang menukar kereta baru pada tahun hadapan.

Dengan harga yang masih belum dimuktamadkan, memiliki Peugeot 508 baharu kali ini pasti tidak mengecewakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 4:15 AM