TIDAK melepaskan peluang bergambar di hadapan Menara Berkembar Petronas.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Usianya baru 22 tahun tetapi semangat kental yang ada pada pemuda berasal dari selatan London, Henry Crew, membolehkannya fokus menamatkan penjelajahan mengelilingi dunia lebih 56,000 kilometer (km).

Menggunakan jentera Ducati Scrambler Desert Sled, pengembaraan jejaka Inggeris ini juga bertujuan mengumpul dana Yayasan Movember, sebuah organisasi global ditubuhkan untuk menangani isu kesihatan dihadapi lelaki misalnya kanser prostat, kanser testis, kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri.

Pada masa sama, Henry berusaha memahat namanya dalam Rekod Dunia Guinness sebagai individu termuda mengelilingi dunia.

Siri penjelajahnya membabitkan 35 negara dengan jarak 56,327 kilometer (km).

Henry memulakan perjalanannya pada 3 April lalu dan sudah merentasi 17 negara antaranya Perancis, Switzerland, Itali, Russia, Kazakhstan, Myanmar, India, Thailand dan Malaysia.


HENRY berhenti di satu premis pengedar Ducati tempatan.

Beliau akan meneruskan perjalanan ke Australia dan seterusnya memasuki benua Afrika sebelum ke Amerika.

Mengikut perancangan, beliau akan mengakhiri siri jelajahnya di England.

Menginspirasikan perjuangannya menghadapi masalah kesihatan mental, Henry secara aktif mengumpul dana untuk Yayasan Movember.

Sejak 2014, beliau sudah mengumpul dana keseluruhan £4,300 (RM22,681), dengan £2,430 (RM12,817) dikumpul daripada inisiatif sepanjang menjelajah ke serata dunia.

Bagi menyokong usaha Henry, Ducati membantu pemuda ini menerusi rangkaian pengedar di seluruh dunia bagi melancarkan siri jelajah berkenaan.


HENRY bersama Ducati Scrambler 1100 baharu.

Ketika singgah di negara ini, pengedar tunggal Ducati tempatan, Next Bike Sdn Bhd membantu Henry memeriksa jenteranya bagi memastikan berada dalam keadaan baik untuk meneruskan perjalanan.

Next Bike juga merancang laluan pemuda ini termasuk bermula dari Pulau Pinang ke Ipoh, Perak dan Cameron Highlands, Pahang sebelum bergerak ke Tanjung Piai, Johor, yang juga penghujung selatan benua Asia dan kemudiannya menuju ke ibu negara.

Dalam pada itu, Next Bike Sdn Bhd melancarkan dua varian Scrambler 1100 Special dan Ducati Scrambler 1100 Sport untuk peminat motosikal berkuasa tinggi tempatan.


HENRY ketika berada di Melaka.

Jentera terbaru itu berkongsi nadi dengan model Monster 1100 yang dijana enjn Desmodue L-twin dua injap bersesaran 1,079cc, menjanjikan kuasa maksimum 86 kuasa kuda (hp) pada 7,500rpm dan daya kilas maksimum 88.4Nm pada 4,750rpm.

Enjin berkuasa ini digabungkan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac berbilang

plat basah dengan kawalan hidraulik dan fungsi slipper.

Ducati Scrambler 1100 tidak berkompromi perihal ekspresi diri, gaya dan ikonik jenama Itali dengan varian 1100 Special persis model klasik kontemporari manakala 1100 Sport berpotongan gaya lebih maskulin.


MODEL Ducati Scrambler 1100 yang dilancarkan, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 4:00 AM