KONVOI bergerak lancar.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Bagi menghargai sokongan pelanggan setianya, pengedar tunggal kenderaan penumpang jenama Renault tempatan, TC Euro Cars (TCEC) menganjurkan program ‘Renault Durian Drive’, baru-baru ini.

Lebih 20 model Renault merangkumi Koleos dan Captur membabitkan hampir 50 peserta menuju Bentong, Pahang untuk menikmati raja buah itu.

Selepas menikmati sarapan pagi dan taklimat perjalanan serta keselamatan, peserta mula bergerak dari Petaling Jaya, Selangor dalam cuaca hujan.

Sepanjang perjalanan, pemilik berpeluang menguji sistem keselamatan kenderaan masing-masing ketika menyusuri Lebuhraya Karak.


RENAULT Captur dan Koleos.

Ketua Pegawai Eksekutif TCEC, Kuan Kim Luen berkata, program santai sambil menikmati durian itu adalah satu cara pihaknya membalas kepercayaan pelanggan yang memilih jenama Renault sebagai kenderaan mereka.

“Rata-rata peserta yang menyertai aktiviti ini terdiri dalam kalangan berkeluarga, selain dapat bersama-sama menikmati pemandangan menarik sepanjang laluan,” katanya.

Jarak perjalanan melebihi 120 kilometer (km) berjalan lancar dengan konvoi dibahagikan kepada dua kumpulan diketuai pasukan pengiring (marshal) berpengalaman dalam memastikan keselamatan di jalan raya.


PROGRAM Renault Durian Drive meriah.

Setiba mereka di dusun durian, rata-rata peserta tidak sabar menikmati raja buah itu daripada varian Musang King dan D24.

Selain itu, sesi melawat sekitar dusun diadakan untuk mengetahui dengan lebih dekat proses penjagaan pokok durian sehingga mampu menghasilkan buah berkualiti tinggi.

Selepas hampir dua jam menjamah durian, berehat dan berbual, peserta kemudian mula bergerak pulang ke destinasi masing-masing.


ANTARA pemilik Renault yang menyertai aktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 12:15 AM