Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mengumumkan pembabitannya secara langsung dalam dunia e-sports, sekali gus menjadi syarikat pengeluar kenderaan pertama di negara ini membabitkan diri dalam sukan berkenaan.

Langkah pertama dilakukan UMWT dengan penganjuran perlumbaan peringkat kebangsaan terbesar di negara ini, Kejohanan Toyota Velocity Esports, yang dijadualkan berlangsung di Sunway Pyramid Blue Atrium dari 21 hingga 23 September ini.

Lebih mengujakan, individu yang berminat menjadi pemandu simulator boleh menyertai pertandingan tanpa sebarang bayaran.

Bagaimanapun, penyertaan hanya dihadkan kepada 400 peserta warga tempatan atau pemastautin tetap saja.

Antara permainan maya dipertandingkan ialah Gran Turismo Sport di Litar Suzuka, Japan, menggunakan kereta Toyota Supra GR Konsep Perlumbaan.

Hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000 termasuk wang tunai RM20,000 untuk juara.

Sepanjang kejohanan ini, UMWT juga menganjurkan ‘Exhibition Race’ disertai selebriti Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) yang menjanjikan pelbagai aktiviti menarik.

Presiden UMWT, K Ravindran berkata, selaras perkembangan industri teknologi permotoran yang semakin pesat, perlumbaan e-sports adalah pengalaman baru dan menarik terutama generasi muda.

“Di Toyota, perkembangan dan minat generasi muda masa kini sentiasa berada dalam fikiran kami.

“E-sports kini berada di lingkungan teratas antara sukan berpotensi untuk menjadi satu daripada lima sukan paling popular dunia.

“Oleh itu, Toyota mahu berada di barisan hadapan dalam siri kejohanan ini,” katanya.

Prosedur pendaftaran, program dan acara menarik, orang ramai boleh melayari www.toyota.com.my untuk mengetahui maklumat lebih terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 12:00 AM