TOYOTA Fortuner lebih besar dan moden.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Mencari kenderaan bersesuaian untuk kegunaan harian atau menempuh perjalanan jauh sentiasa menjadi dilema, tambahan pula apabila memikirkan kos bahan api yang sentiasa meningkat.

Banyak faktor akan diambil kira sebelum membuat keputusan untuk membeli kenderaan yang tepat antaranya praktikaliti, penyelenggaraan, alat ganti, nilai jualan semula dan harga.

Selain sedan, kenderaan pelbagai guna (MPV) atau kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, pemilihan berdasarkan kriteria tertentu kegunaan kenderaan itu sendiri.

Antara model dianggap paling berbaloi untuk dimiliki adalah SUV Toyota Fortuner tujuh tempat duduk yang sememangnya dikenali di seluruh dunia.

Populariti model ini bukan hanya semata-mata buatan Toyota tetapi hadir dengan pakej sempurna sebagai kenderaan harian atau untuk perjalanan jauh.

Pertama, jentera ini dijana enjin diesel berkuasa dan menawarkan tujuh tempat duduk selain keupayaannya meredah sebarang permukaan jalan raya.

Model ini dijana enjin empat silinder 2,393cc 16 injap DOHC Intercooler VNT Diesel menghasilkan 150PS pada 3,400 rpm manakala daya kilas maksimum 400Nm pada 1,600 hingga 2,000rpm.

Dengan nadi yang berkuasa ini, Toyota Fortuner mampu mengharungi sebarang permukaan jalan raya tanpa sebarang masalah.


ENJIN 2.4L DOHC Intercooler VNT Diesel tawar 400Nm tork.

Sistem pacuan empat roda memastikan hantaran kuasa seimbang selain sistem gantungan Independent Double Wishbone with Coil Spring & Stabiliser pada roda depan dan 4-link Coil Spring with Lateral Control Rod & Stabiliser di belakang membantu menyerap segala hentakan dengan cemerlang.

Sistem transmisi automatik enam kelajuan memastikan penggunaan bahan api yang cekap dan isian penuh 80 liter mampu mencatatkan jarak perbatuan yang tinggi.

Daripada segi praktikaliti pula, Fortuner boleh dianggap kenderaan yang mewah dengan teknologi yang sangat membantu seperti kemasukan pintar tanpa kunci dan butang penghidup enjin selain bukaan but belakang kawalan automatik.

Ruang dalamannya serba premium apabila semua tujuh tempat duduk disulam balutan kulit, penyaman udara automatik, meter Optitron dengan paparan pelbagai info (MID) sementara sistem hiburan dengan skrin sesentuh bersaiz lapan inci bersama MP3, port USB, Bluetooth, navigasi dan kamera undur.


BAHAGIAN hadapan premium.

Malah, monitor pandangan panoramik (PVM) membolehkan pemandu melihat keseluruhan kenderaan pada sudut 360 darjah selain perakam video digital (DVR).

Ciri luaran menampilkan sisi mewah apabila lampu hadapan projektor Bi-LED, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang LED.

Padanan rim aloy 18 inci pelengkap kepada ciri sporty yang ada pada model ini.

Oleh kerana Fortuner jentera lasak dan premium, Toyota Fortuner didatangkan dengan ciri keselamatan seperti tujuh beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Bantuan Menurun Bukit (DAC), Lampu Berhenti Kecemasan (ESS) dan Trailer Sway Control (TSC).

Fortuner antara SUV tujuh tempat duduk yang menerima penarafan lima bintang ujian pelanggaran ASEAN-NCAP.


RUANG but belakang luas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 4:00 AM