PESERTA menunjukkan isyarat bagus selepas lulus ‘ujian’ jalan raya.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (Petron), antara peneraju syarikat minyak tempatan melancarkan program keselamatan jalan raya untuk penuntut di tujuh universiti seluruh negara.

Program kesedaran hasil kerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) itu menyasarkan 5,000 penuntut menyertai program berkenaan.

Antara universiti terpilih ialah UTMSPACE, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Tun Hussein Onn (UTHO), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.


PESERTA ‘ditegur’ oleh penguatkuasa JPJ kerana melakukan kesalahan.

Ketua Keselamatan Korporat, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron, Lokman Hani berkata, pihaknya akan berkunjung ke tujuh universiti berkenaan bermula bulan ini sehingga Disember.

“Program keselamatan jalan raya Petron adalah acara terbesar dan terpanjang membabitkan pelbagai universiti.

“Objektif kami adalah mendedahkan pelajar kepada kepentingan keselamatan jalan raya,” katanya pada Majlis Perasmian Program Keselamatan Jalan Raya di Residensi UTM Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah JKJR, Datuk Roslan Eusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim.


PENUNTUT meniti jambatan menggunakan motosikal ketika Program Keselamatan Jalan Raya anjuran Petron.

Tahun lalu, program sama dianjurkan Petron di tujuh universiti seluruh negara berjaya menarik penyertaan 4,665 pelajar.

Bagaimanapun, tahun ini, program itu menggunakan pendekatan lebih menyeronokkan, menarik dan interaktif apabila pelajar universiti bersaing dalam satu kumpulan berkonsepkan ‘Amazing Race’ untuk menyelesaikan kuiz keselamatan jalan raya dan beberapa elemen berkaitan keselamatan.

Menurut Lokman, program keselamatan jalan raya Petron selaras dengan objektif United Nations Decade of Action for Road Safety 2011-2020.


ANTARA penuntut universiti yang menyertai Program Keselamatan Jalan Raya anjuran Petron.

“Ia adalah advokasi global yang menggalakkan pemanduan selamat menerusi pematuhan undang-undang lalu lintas.

“Program keselamatan jalan raya Petron yang diperkenalkan sejak 2014 ini berjaya mendidik lebih 8,000 pelajar sekolah dan penuntut universiti,” katanya.

Selain JKJR, antara rakan kongsi program keselamatan jalan raya Petron ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Honda Malaysia, Michelin dan Nestle.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:15 AM