Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


BOON Siew Honda Sdn Bhd melancarkan motosikal transmisi automatik (AT) terbaru Honda Vario 150 menggabungkan elemen sporty dan prestasi mengagumkan di Petaling Jaya, hari ini.

Model pemasangan tempatan itu dijana enjin 150cc silinder tunggal empat lejang sistem sejukan cecair mampu menjana kuasa 13.1PS pada 8,500 rpm dan daya kilas 13.4Nm pada 5,000 rpm.

Ia turut dilengkapi teknologi Enhanced Smart Power (eSP) dan Sistem Brek Combi (CBS) bagi keselamatan tambahan serta Sistem Henti Melahu (ISS) yang akan memberhentikan enjin motosikal secara automatik ketika di simpang lampu isyarat.

Untuk rekaan ia dipasang dengan dwi-lampu hadapan dan belakang LED, rak dalaman berkembar, Paparan panel meter digtal LCD, peredam sporty, rim sport bersaiz 14 inci serta ruang simpanan di bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter.

Sistem Kunci Pintar Honda pula menawarkan keselamatan terbaik termasuk sistem penggera anti-kecurian dan untuk keselesaan, skuter ini dilengkapi dengan suspensi hadapan teleskopik dan suspensi tunggal pada bahagian belakang.

Honda Vario 150 dijual pada harga RM7,199 dan RM7,399 (edisi Repsol) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Ia didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu hitam mutiara, biru mutiara, perak metalik dan edisi Repsol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 7:29 PM
PENGARAH Urusan Boon Siew Honda Sdn Bhd, Keiichi Yasuda (empat kanan) pada majlis pelancaran Honda Varion 150. FOTO Saifullizan Tamadi