PANDANGAN sisi yang menampilkan sudut tajam.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Jika sebelum ini penulis memandu uji Mazda CX-5 2.0L GLS SKYACTIV berkuasa petrol, kali ini Bermaz Motor Sdn Bhd memberi peluang merasai satu lagi varian kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris mereka, CX-5 2.2L SKYACTIV-D AWD.

Varian itu yang paling premium dalam kalangan adik beradik CX-5 dan lebih istimewa lagi, SUV ini dijana enjin berkuasa diesel.

Jika satu masa dulu, bahan api diesel hanya layak digunakan kenderaan berat seperti lori atau bas tetapi hasil kejuruteraan termaju syarikat minyak dan syarikat pengeluar kenderaan, diesel adalah pilihan enjin terbaik untuk mendapatkan jarak perjalanan lebih jauh, malahan lebih mesra alam.

Melihat sudut luaran, tiada perbezaan ketara antara varian petrol dan diesel kecuali tambahan aksesori kosmetik.

Ternyata Mazda yang terkenal dengan rekaan berkonsepkan KODO dalam setiap model menjadikannya sangat eksklusif.

Penulis yakin sesiapa saja melihat bahagian hadapan jentera yang memaparkan imej gril hadapan besar dengan sepasang lampu utama yang tirus, sudah pastinya ia jenama Mazda.


GRIL hadapan besar menjadi identiti Mazda.

Masih menggunakan perumah lampu hadapan yang kecil dan tirus, sistem pencahayaan hadir dengan teknologi LED aktif yang mengikut gerak putaran stereng, membolehkan pandangan lebih jelas ketika membelok.

Selain itu, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus LED membantu pemandu menempuh laluan gelap atau tahap penglihatan yang rendah.


LAMPU hadapan dan DRL teknologi LED.

Daripada pandangan sisi pula, bentuknya kelihatan ‘berisi’ pada bahagian bawah hingga ke pintu tetapi mula mengecil sebaik melepasi bingkai tingkap.

Bahagian belakang pula hadir dengan perumah lampu belakang LED berbentuk bujur tetap memiliki bucu tajam dengan sistem cahaya berbentuk sfera.

Perbezaan paling ketara rim bersaiz 19 inci berbanding varian CX-5 2.0L GLS SKYACTIV hanya didatangkan dengan rim bersaiz 17 inci.


PERUMAH lampu belakang berbentuk bujur dan tirus.

Ruang kabin juga tiada perubahan ketara dengan tema hitam menghiasi kerusi kulit, kokpit dan panel sisi.

Paparan meter LCD bersama info pelbagai bersaiz tujuh inci di tengah papan pemuka membantu pemandu memantau sebarang maklumat berkaitan kenderaan.

Konsol tengah menempatkan tombol gear dan butang parkir elektronik selain alat kawalan untuk MZD Connect Infotainment System.

Namun, nadi kuasa yang ada pada model kali ini adalah berbeza dan sangat berkuasa selain didatangkan bersama pacuan semua roda (AWD).


BAHAGIAN kokpit yang serba mewah.

Enjin empat silinder SKYACTIV-D 2.2L DOHC 16 Injap mampu menghasilkan 173 kuasa kuda (hp) pada 4,500rpm manakala daya kilas maksimum setinggi 420Nm pada 2,000rpm.

Kuasa yang ada sudah mencukupi untuk membawa beban lima penumpang tanpa merasai kekurangan kuasa ketika mendaki atau memintas.

Meskipun seberat 1,719 kilogram (kg) atau 147kg lebih berat berbanding varian petrol yang hanya 1,572kg, model diesel mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 206 kilometer sejam (km/j).

Faktor ini dibantu padanan transmisi automatik enam kelajuan SKYACTIV dengan fungsi manual yang memastikan kuasa enjin disalurkan ke roda dengan sempurna.

Bagi penulis, kelajuan itu sudah memadai terutama memikirkan SUV ini tinggi dan kebiasaannya digunakan individu berkeluarga yang pastinya mempunyai penumpang kanak-kanak.

Padanan sistem gantungan MacPherson Struts pada roda hadapan dan Multi-Link pada gandar belakang memastikan jentera kekal stabil dalam sebarang kelajuan.

Cuma penulis tidak menafikan ada sedikit olengan ketika melalui selekoh disebabkan susuk tubuhnya yang besar dan tinggi.


ENJIN berkuasa diesel menawarkan 173 hp dan 420 Nm tork.

Bagi aspek keselamatan, enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengedaran Tekanan Brek Elektronik (EBD), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) memastikan pemandu dapat mengawal kenderaan dengan baik.

Pemandu turut ‘dibantu’ apabila stereng teknologi Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS) memudahkan kawalan dan responsif.

Sistem Blind Spot Monitoring (BSM) sangat membantu dengan mengeluarkan amaran mengenai kehadiran ‘objek terlindung’ seperti motosikal yang tidak dapat dilihat pemandu.

Sistem Mazda i-Stop Idling Technology pula membolehkan enjin dimatikan ketika berhenti bertujuan mengurangkan pencemaran dan pembaziran bahan api.


KONSOL tengah menempatkan tombol gear, parkir elektronik dan MZD Connect Infotainment System.

Sepanjang memandu uji jentera ini, penulis merasai keselesaan ditawarkan Mazda termasuk enjinnya kurang bising walaupun berkuasa diesel.

Keadaan kabin yang kedap menjadikan perjalanan lebih tenteram terutama apabila menempuh perjalanan jauh.

Ruang bagasi sebesar 442 liter mampu memuatkan tiga beg beroda bersaiz besar dengan mudah.

Jika masih tidak mencukupi, rebahkan kerusi belakang dan ruang bagasi menjadi seluas 1,342 liter.

Dengan harga bermula RM165,939.30 tanpa insurans, Mazda CX-5 2.2L SKYACTIV-D AWD mungkin menepati selera penggemar jentera diesel tanpa berkompromi terhadap keselesaan dan gaya.


RUANG bagasi yang luas.

MAZDA CX-5 2.2L SKYACTIV-D AWD

• ENJIN: 2,191cc empat silinder SKYACTIV-D 2.2L DOHC 16 Injap

• KUASA MAKSIMUM: 173hp @ 4,500rpm

• TORK MAKSIMUM: 420Nm @ 2,000 rpm

• TRANSMISI: SKYAKTIV 6 kelajuan dengan fungsi manual

• CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, ABS, EBD, ESS, DSC, TCS, HSA, ESS dan ISOFIX

• HARGA: RM165,939.30 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 2:24 AM