PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr Claus Weidner (kanan) dan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine bersama model S450L.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) terus mengekalkan momentum mengukuhkan kedudukannya dalam segmen limosin premium mewah apabila memperkenalkan barisan model S-Class baharu serentak.

Antara model diperkenalkan adalah Mercedes-Benz S450L, S560 Cabriolet, Mercedes-AMG S63 Coupe dan Mercedes-Maybach S560.

Dipasang di kilangnya di Pekan, Pahang, model S450L dikuasakan enjin 3.0L enam silinder bersama kotak gear automatik sembilan kelajuan 9G-TRONIC.

Padanan itu membolehkan jentera berkenaan menjana 367 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum sehingga 500Nm selain keupayaannya memecut dari kedudukan pegun sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.4 saat.

Sebagai model salon mewah terlaris di dunia, S450L hadir dengan 6,500 komponen baru yang menjanjikan pemanduan lebih sempurna dan elegan.

Mercedes-Benz S450L ditawarkan pada harga bermula RM699,888 seunit.


RUANG dalaman S450L serba mewah.

Bagi varian S560 Cabriolet, model ‘bumbung terbuka’ itu dijana enjin V8 Biturbo yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 469 hp dan tork maksimum 700 Nm.

Ini membolehkan S560 Cabriolet mencatat masa 4.9 saat untuk mencapai kelajuan 100km/j.

Model itu berharga RM1,310,662.21 seunit.

Selain itu, turut dilancarkan model berkuasa tinggi Mercedes-AMG S 63 Coupe bersesaran 4.0L V8 talaan AMG.

Model itu mudah dikenali menerusi gril radiator AMG Panamericana bersama corong kemasukan udara berbentuk V yang diinspirasikan daripada sayap pesawat.

Enjin berkuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 612 hp dan tork maksimum 900 Nm, dipadankan bersama kotak gear sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT.

Nadi berkenaan membolehkan model ini memecut dari kedudukan pegun sehingga 100 km/j dalam masa 4.2 saat sahaja.

Dijual pada harga RM1,461,605.60 seunit, model premium ini menawarkan pemanduan sporty dan mengujakan.

Model terakhir dilancarkan adalah varian paling mewah iaitu Mercedes-Maybach S560 yang dikategorikan sebagai salon paling mewah.


MERCEDES-Benz AMG S63 Coupe yang berkuasa.

Penampilan luarannya sempurna dengan rim bersaiz 20 inci yang dibina di atas tapak roda sepanjang 3365mm, 20mm lebih panjang berbanding S-Class biasa.

Keselesaan ruang kabin dipertingkatkan menerusi aplikasi sistem MAGIC BODY CONTROL yang menggabungkan suspensi aktif dengan penyerap boleh ubah sepanjang masa dan ROAD SURFACE SCAN.

Sistem ini dibantu kamera stereo yang mengimbas permukaan jalan, sekali gus membolehkan operasi penyerap pada setiap roda melenyapkan tekanan sebarang hentakan.

Aspek keselamatan dengan sistem Night View Assist Plus berfungsi mengesan kehadiran pejalan kaki dan haiwan liar pada waktu malam yang dipaparkan dengan jelas pada skrin kokpit.

Dijual pada harga bermula RM1.4 juta, Mercedes-Maybach S560 berada dalam kelasnya yang tersendiri.


MERCEDES-Maybach S560 berharga RM1.4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 12:05 AM