BMW 530i M Sport hadir dengan gaya lebih sporty.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Sebut saja BMW, terbayang jentera yang sering kali dikaitkan dengan kelajuan, enjin melintang, berkuasa dan reka bentuk ranggi sangat diminati kaki kereta.

Tiada sesiapa dapat menafikan ‘penguasaan’ jenama ini dalam minda peminat kereta sama ada golongan muda mahupun berusia.

BMW adalah singkatan bagi Bayerische Motoren Werke atau Bavarian Motor Works, yang diasaskan oleh Franz Josef Popp pada 1917. Selain kereta, BMW menghasilkan motosikal bawah BMW Motorrad dan Husqvarna.

Baru-baru ini, BMW Group Malaysia memberi peluang kepada penulis memandu uji satu model sentuhan Siri M atau ‘Motorsport’ mereka, 530i M Sport yang menerima penalaan khas membabitkan ciri aerodinamik dan sudut dalaman serta luaran jentera.

Buat pengetahuan pembaca, semua model Siri M sudah ditala dan lulus ujian ketat di fasiliti persendirian BMW di Litar Nurburgring, Jerman, sebelum dikomersialkan.

BMW 5 Series adalah antara model sedan eksekutif paling popular di negara ini dengan tawaran pemanduan yang tidak boleh dipertikaikan. Suntikan daripada ‘M’ pula memjadikan model ini sangat sempurna untuk kegunaan harian dan sentiasa bersedia mengharungi setiap selekoh di litar lumba.

Ciri luaran

Melihat pada bentuk luaran model ini, beberapa perubahan menunjukkan perbezaan ketara berbanding varian 5 Series lain.

Paling menyerlah adalah gril ‘ginjal’ (kidney) tiga dimensi hadapan berwarna hitam kilat, memberi gambaran jelas kelainan yang ada pada model ini. Ciri berkenaan tidak terhenti setakat itu saja, padanan rim hitam bersaiz 19 inci menyerlahkan ciri sporty jentera sedan ini.


GRIL ‘kidney’ tiga dimensi.

Bukan itu saja, balutan gentian karbon juga menghiasi difuser hadapan dan belakang, cermin sisi serta spoiler.

Selain menyerlahkan penampilan lebih sporty, penggunaan gentian karbon dapat mengurangkan berat keseluruhan jentera selain menjanjikan ciri aerodinamik lebih baik. Padanan skirt sisi dengan padanan stiker selain ekzos berkembar menjadi nilai tambah untuk varian ini.


KEMASAN cermin sisi gentian karbon.

Lampu utama didatangkan dengan ciri BMW Adaptive LED sepenuhnya termasuk lampu nyalaan siang (DRL) LED dipertingkatkan. Ciri termaju ini membolehkan lampu tinggi menawarkan jarak penglihatan sehingga 500 meter.

Rekaan garis bumbung yang lebih rendah di bahagian belakang menyerlahkan penampilan seakan-akan coupe.


KERUSI penumpang belakang luas.

Rekaan BMW EfficientLightweight menjamin keseronokan pemanduan dengan aspek aerodinamik terbaik dicetuskan BMW antaranya casis rekaan baru, pusat graviti rendah, pembahagian berat seimbang dan penambahbaikan aerodinamik untuk mengoptimumkan laluan angin.

Ciri dalaman

Menerjah ke ruang dalaman, padanan kabin berwarna gelap memberi ciri eksklusif untuk sesebuah jentera sedan mewah yang berkuasa. Kehalusan kualiti dalaman model premium ini tidak perlu dipertikaikan.

Papan pemuka yang menempatkan kawalan pendingin hawa tersusun rapi, manakala konsol tengah menempatkan butang pelbagai fungsi selain tombol gear.


RUANG kokpit serba mewah.

Ruang konsol tengah yang luas mampu menempatkan barangan peribadi dan telefon pintar, malah boleh memuatkan tablet pintar dengan selamat.

Tahap keselesaan kabin dipertingkatkan menerusi sistem pendingin hawa automatik dengan empat zon kawalan termasuk corong udara untuk penumpang belakang.

Bagi pemandu dan penumpang barisan hadapan, tempat duduk berciri sport boleh ditala secara automatik bersama fungsi memori.


PAPAN pemuka berciri pintar.

Skrin sentuh resolusi tinggi bersaiz 12.3 inci pada bahagian tengah dilengkapi sistem iDrive generasi terkini yang memaparkan navigasi, hiburan dan fungsi kenderaan.

Didatangkan bersama 16 pembesar suara dan sistem bunyi sekeliling Harman Kardon berkuasa 600 watt, perjalanan lebih selesa bersama paduan bunyi jitu.

Bumbung suria pelengkap kepada sebuah sedan premium eksklusif termasuk ruang but kargo lebih besar mencecah 530 liter.


PAPAN pemuka gelap lebih eksklusif.

Prestasi pemanduan

Sebaik butang penghidup enjin ditekan, kedengaran deruman enjin petrol empat silinder sebaris generasi terkini bersesaran 2.0L dipadankan bersama kotak gear lapan kelajuan Steptronic Sport.

Ternyata model ini bukanlah kereta yang boleh dipandang ringan kerana enjinnya diasaskan daripada keluarga enjin modular BMW EfficientDynamics terbaru.

Teknologi BMW TwinPower Turbo yang hadir bersama pengecas turbo Twin Scroll, sistem Pancitan Terus Berketepatan Tinggi, sistem kawalan injap boleh ubah sepenuhnya VALVETRONIC dan pemasaan aci engkol boleh ubah Double VANOS bersedia untuk menjalankan tugasnya.

Sebaik pedal minyak ditekan, ternyata kuasa dihamburkan sangat mengagumkan, disusuli gema ekzos mengasyikan telinga.

Nadi sedan ini berupaya menjanjikan kuasa maksimum 252 kuasa kuda (hp) pada 5,200 hingga 6,500rpm dan daya kilas sehingga 350 Nm pada 1,450 hingga 4,800rpm.


ENJIN 2.0L TwinPower Turbo Double VANOS sangat berkuasa.

Tidak hairanlah jentera ini hanya mengambil masa 6.2 saat untuk mencecah kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) daripada kedudukan pegun selain kelajuan maksimum dicatatkan adalah 250km/j.

Walaupun didorong enjin berkuasa turbo berkembar, purata penggunaan bahan api tidak membebankan apabila mecatatkan angka 5.8 liter bagi setiap 100 kilometer (km) dengan emisi karbon sekitar 132 gram bagi setiap kilometer.

Dari segi pemanduan, sistem Driving Experience Control dengan mod COMFORT, SPORT dan ECO PRO memberikan pengalaman pemanduan terbaik. Sukar bagi penulis untuk mencari kekurangan jentera ini, tambahan pula M Series adalah jentera eksklusif buat jenama ini.

Keselamatan dan teknologi terkini

Sebagai jentera berprestasi tinggi, sudah pasti kuasa dan keselamatan diseimbangkan tanpa menjejaskan keseronokan pemanduan.

Selain Lane Departure Warning dan Lane Change Warning, model ini dilengkapi fungsi Approach Control Warning & Person Warning dengan City Brake.

Sistem ini akan memberi amaran dan membrek dalam julat kelajuan kira-kira 10km/j sehingga 60km/j untuk manusia dan mencecah 80km/j bagi objek lain.


KUNCI pintar mengandungi maklumat kenderaan.

Sekiranya kemalangan gagal dielakkan, City Braking memainkan peranan membantu mengurangkan impak pelanggaran.

Approach Control Warning pula memberi amaran jika terdapat halangan di hadapan dan memastikan brek memberi respons lebih pantas dan jarak membrek lebih pendek sekiranya berlaku kecemasan.

Model ini dibekalkan dengan sistem brek M Sport dan angkup berwarna biru dengan huruf ‘M’.

Keseluruhannya, BMW 530i M Sport adalah kenderaan yang menggabungkan kejuruteraan termaju dengan inovasi canggih, membolehkan setiap pemandu merasai prestasi kuasa tiada tandingan tanpa beralah sedikitpun.


ANGKUP brek biru muda tertera logo M Sport.

BMW 530i M SPORT

• ENJIN: 2.0L BMW TwinPower Turbo Double VANOS

• TRANSMISI: Automatik 8 kelajuan Steptronic Sport

• KUASA MAKSIMUM: 252hp @ 5,200-6,500rpm

• TORK MAKSIMUM: 350 Nm @ 1,450-4,800rpm

• KELAJUAN MAKSIMUM: 250km/j

• HARGA: RM388,800 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 12:12 AM