TEMPAHAN buat Nissan Serena S-Hybrid serba baru sudah dibuka.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) membuka tempahan untuk generasi kelima kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena S-Hybrid serba baru yang dijadualkan pelancarannya bulan hadapan.

Mengekalkan enjin 2.0L Kawalan Pemasaan Injap-Pemboleh Ubah Berterusan Berkembar (CVTC) dengan kotak gear Xtronic (CVT) serta Kawalan Syif Adaptif, nadi berkenaan berupaya menjana kuasa 150PS pada 6,000 rpm manakala tork maksimum 200Nm pada 4,400 rpm.

Model serba baru ini dilengkapi Dual Arm Tensioner (DAT) yang menghasilkan ketegangan rendah pada tali sawat bagi membantu menimbalkan kekurangan kuasa selain penggunaan bahan api efisien.

Sistem Hibrid Pintar pada kenderaan ini dikawal motor ECO yang dipertingkatkan bagi mengawal sistem berhenti melahu dan tambahan kuasa ketika memecut.


REKAAN baru papan pemuka.

Ia juga kini diberi penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan penggunaan petrol sehingga 14.2 kilometer seliter (km/l).

Serena S-Hybrid serba baru dipadankan dengan Mobiliti Pintar Nissan (NIM) seperti Monitor Pintar Pandangan Sekeliling (I-AVM) yang pertama dalam segmennya dengan empat kamera 360 darjah manakala Pengesan Objek Bergerak (I-MOD) mampu mengesan pergerakan objek sekeliling.

Pintu Gelongsor Berkembar boleh dibuka dan ditutup dengan pengesan kaki antara ciri baru MPV keluarga ini termasuk tujuh tempat duduk ‘kerusi kapten’ dan tujuh port mengecas USB.


KERUSI kapten untuk generasi kelima.

Pintu belakang juga boleh dibuka dua bahagian bagi memudahkan penumpang mengambil barangan di ruang parkir terhad.

Untuk ciri keselamatan, model ini dilengkapi enam beg udara SRS, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Agihan Kuasa Membrek Elektronik (EBD), Bantuan Mula Mendaki (HSA), pemegang tempat duduk kanak-kanak dan Top Tether ISOFIX.

Orang ramai yang berminat boleh memandu uji Nissan Serena S-Hybrid serba baru di bilik pameran terpilih atau layari laman web www.nissan.com.my untuk maklumat lanjut.

Anggaran harga dipercayai sekitar RM140,000 bagi varian Highway Star dan RM155,000 untuk Premium Highway Star dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.


PINTU belakang boleh dikawal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 2:54 AM