PESERTA memulakan perjalanan ke Janda Baik, Pahang.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Pada 8 April setiap tahun, pemilik motosikal Royal Enfield seluruh dunia mengadakan aktiviti dikenali sebagai One Ride dengan pelbagai aktiviti menarik.

Aktiviti itu disambut lebih 70 pemilik jentera berkenaan di negara ini dengan melakukan konvoi ke Janda Baik, Pahang.

Motosikal yang menjengah pasaran pada 2012 diminati ramai apabila mengekalkan rekaan klasik asal sejak dihasilkan pada 1901 dengan padanan enjin 350cc dan 500cc.

Dianjurkan RE Motorcycles Sdn Bhd, yang juga pengedar utama motosikal Royal Enfield tempatan, acara itu sebagai meraikan pemilik yang menyokong jenama berkenaan sejak sekian lama.

Pengurus Besarnya, Muhammad Syahrul Abdullah berkata, selain negara Asia Tenggara One Ride 2018 turut diadakan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) tetapi dibezakan dengan masa mengikut zon waktu masing-masing.

Menurutnya, One Ride memberi peluang kepada pemilik baru dan lama bertemu dan berkongsi pengalaman di laman web rasmi Royal Enfield.

Muhammad Syahrul berkata, pihaknya sering mengadakan aktiviti berkonvoi setiap dua bulan sekali ke lokasi menarik seluruh negara.

“Ini bertujuan menarik lebih ramai pemilik motosikal klasik ini selain mempromosikan jenama motosikal ini.

“Royal Enfield bukan sahaja tahan lasak, malah kos penyelenggaraan berpatutan dan penggunaan bahan api efisien menjadikannya pilihan terbaik untuk bersantai,” katanya.

Terdahulu, konvoi dimulakan dengan sesi penerangan oleh marsyal dan bacaan doa sebelum anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengiringi konvoi ke Pandamaran, Klang untuk meraikan Hari Polis Ke-211 peringkat daerah.


PEMILIK Royal Enfield memeriahkan sambutan Hari Polis Ke-211 di Pandamaran.

Selepas itu, perjalanan diteruskan melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan memasuki Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) sebelum melalui jalan lama ke Genting Sempah.

Sepanjang konvoi, semua peserta mematuhi disiplin ditetapkan termasuk pergerakan konvoi sekitar 90 hingga 100 kilometer sejam (km/j).

Kira-kira sejam kemudian, peserta terdiri daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan pekerjaan kemudian tiba di Laman Ibu Chalet, Janda Baik, sebelum dihidangkan dengan aktiviti seperti makan tengah hari, karaoke dan cabutan bertuah.

Seorang peserta, Tee Wee Ern, 36, mengakui menunggang bersendirian dari Johor ke ibu negara semata-mata untuk menyertai acara berkenaan selain bertemu rakan kelab.

“Saya sudah menggunakan Royal Enfield Bullet selama dua tahun kerana sukakan bentuknya yang klasik dan gaya tunggangan santai,” katanya yang juga ahli perniagaan.

Menurut seorang lagi peserta, P Mahesvaran, 35, menyertai aktiviti One Ride setiap tahun adalah satu kemestian.

“Saya memang meminati motosikal dengan rekaan klasik termasuk menjadikannya sebagai kenderaan harian ke tempat kerja,” katanya yang bekerja sebegai jurutera mekanikal di Puchong, Selangor.

Mahesvaran yang memiliki model Battle Green sejak tujuh tahun lalu mengakui motosikalnya sering menjadi perhatian ramai setiap kali menunggangnya.


LEBIH 70 pemilik Royal Enfield menyertai One Ride 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 2:49 AM