TOYOTA Harrier 2.0T sesuai untuk eksekutif muda.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Sejak mula diperkenalkan pada 1997 di pasaran domestik Jepun, Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Harrier antara model premium paling popular selain kehadirannya mencetuskan penanda aras baru untuk segmen SUV saiz pertengahan.

Lepas lebih dua dekad tercipta, akhirnya UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) selaku pengedar rasmi Toyota di negara ini memperkenalkan Harrier 2.0T terbaru sarat dengan pelbagai teknologi terkini.

Peluang memandu uji varian 2.0T Luxury, baru-baru ini, dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana penulis sudah lama menantikan model ini selepas kali terakhir memandu ujinya sekitar 2009.

Terdahulu, model mewah ini mula dipertontonkan kepada umum tahun lalu ketika Malaysia Autoshow 2017 dengan dua varian ditawarkan termasuk 2.0T Premium.

Melihat bentuk luarannya, pembaharuan dilakukan Toyota berjaya menambat hati mereka yang inginkan jentera moden yang berkuasa.

Lihat sahaja bahagian hadapan yang tirus dengan padanan perumah lampu utama lebih nipis, menjadikannya lebih sporty.


RUPA bentuk hadapan lebih tirus.

Bahagian hadapan terserlah logo Harrier manakala bampar hadapan menempatkan gril bagi kemasukan udara ke ruang enjin selain diapit sepasang lampu nyalaan siang (DRL).

Bahagian belakang pula kekal menarik apabila perumah lampu belakang direka lebih cantik, jelas membezakan statusnya sebagai SUV premium.

Menariknya, lampu isyarat membelok hadapan didatangkan dengan ciri cahaya berturutan (sequential) yang kebiasaannya dimiliki jentera buatan Eropah.

Bumbung suria panoramik melengkapkan ciri eksklusif model ini dan difahamkan, ciri berkenaan hanya boleh ditemui melalui varian yang dibawa masuk UMW Toyota.


TOYOTA Harrier 2.0T lebih maskulin.

Untuk masuk ke ruang kabin hanya memerlukan ‘pemegang kunci pintar’ menyentuh tombol pintu selain enjin bersedia untuk dihidupkan dengan hanya menekan butang penghidup enjin.

Ruang dalaman sarat dengan elemen mewah sebaik sahaja punggung dilabuhkan ke kerusi kulit latar hitam berjalur benang merah.

Sistem elektronik banyak mempengaruhi ruang dalamannya seperti pengubah kedudukan stereng mahupun tempat duduk dengan tiga mod memori.

Tiada butang kawalan pada papan pemuka melainkan skrin sentuh menempatkan butang kawalan pendingin hawa berteknologi NanoE dan sistem DVD-AVX bersaiz tujuh inci memaparkan navigasi, audio dan kamera undur.


RUANG dalaman tampak mewah dengan bumbung suria panoramik.

Sistem audio ini juga membolehkan pemandu menyambungkan telefon pintar mereka menggunakan aplikasi Bluetooth selain capaian Internet dan Wi-Fi.

Istimewa model Harrier 2.0T kali ini, liang udara pada kerusi hadapan mengeluarkan hawa dingin, menjadikan pemandu dan penumpang berasa selesa sepanjang perjalanan.

Meter berwarna LCD penuh dengan paparan ciri info menjadikan pemandu lebih peka terhadap pemanduan.

Ruang barangan pula dikawal dengan satu butang kawalan yang membolehkan but belakang dibuka atau ditutup secara automatik.

Sepanjang memandu, ruang kabin sangat senyap sehingga langsung tidak kedengaran sebarang bunyi desiran angin melainkan gema alunan muzik daripada enam pembesar suara yang mantap.

Nadi 2.0L Twin-scroll Turbocharged 16V DOHC VVT-iW&D-4ST sangat berkuasa dengan hamburan kuasa 231 PS pada 5,200 hingga 5,600 rpm manakala kuasa tujahan 350 Nm pada 1,650 hingga 4,000 rpm sangat mengujakan.

Tiga mod ditawarkan iaitu Eco, Normal dan Sport menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan.


KONSOL tengah menempatkan skrin sentuh.

Namun, penulis lebih kerap menggunakan mod Eco untuk merasai penjimatan bahan api SUV ini dan mendapati setangki penuh 60 liter mampu membawa penulis sehingga jarak mencecah 500 kilometer.

Dengan padanan transmisi Super ECT enam kelajuan, tiada kekurangan kuasa dirasai sepanjang pandu uji selama empat hari.

Setiba di lebuh raya pula, penulis gemar menggunakan tetapan auto-cruise dan menariknya, kelajuan SUV ini akan diperlahankan secara automatik sekiranya mengesan kenderaan di hadapan penulis lebih perlahan.

Sebagai contoh, apabila penulis menetapkan auto-cruise pada kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) dan secara tiba-tiba ada kenderaan di hadapan memasuki lorong penulis tetapi hanya bergerak dalam lingkungan 100 km/j, SUV ini akan memperlahankan kelajuan secara automatik dengan jarak khusus dan kembali semula ke kelajuan asal selepas tiada halangan kenderaan di hadapan.

Ini adalah antara teknologi termaju Toyota dikenali sebagai Adaptive Cruise Control (ACC) with Dynamic Radar Technology.

Sistem pintar ini juga berkait rapat dengan sistem Lane Keeping Assist (LKA) dan Lane Departure Alert (LDA) bertujuan memberi amaran awal kepada pemandu sekiranya ‘terkeluar’ daripada laluan atau ada halangan di hadapan.


RUANG penumpang belakang selesa.

Selain itu, teknologi Pre-Crash System (PCS) membantu pemandu memberhentikan kenderaan lebih cepat apabila radar mengesan halangan di hadapan.

Sepanjang pemanduan, sistem suspensi hadapan MacPherson Strut dan Double Wishbone di gandar belakang memastikan setiap penumpang berasa selesa selain beroperasi dengan baik menyerap segala hentakan di jalan raya.

Sudah pasti setiap jentera berkuasa turbo memerlukan ciri keselamatan terbaik dan Harrier 2.0T juga tidak terkecuali.

Tujuh beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TC), Bantuan Kawalan Mula Mendaki (HAC), Pengedaran Tekanan Brek Elektronik (EBD), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan ISOFIX adalah ciri standard.

Sebenarnya, ujud perbezaan nyata di antara model dibawa masuk oleh UMW Toyota dan pemegang permit import (AP) walaupun kelihatan hampir sama.

Toyota Harrier 2.0T diedarkan UMW Toyota didatangkan dengan enjin dicas turbo bersama transmisi enam kelajuan Super ECT manakala pemegang AP hanya menawarkan enjin 2.0L tanpa turbo dengan transmisi CVT.


SISTEM brek parking elektronik.

Perbezaan lain paling ketara adalah ketiadaan lampu utama LED, DRL, lampu isyarat Sequential, ruang dalaman kulit Nappa premium, bumbung panoramik, butang brek parking elektronik dan pastinya sistem keselamatan termaju daripada Toyota.

Paling penting, UMW Toyota menawarkan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Berharga RM259,900 (termasuk GST tanpa insurans) bagi varian 2.0T Luxury dan RM238,000 (termasuk GST tanpa insurans) bagi varian 2.0T Premium, empat pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Mutiara Crystal Shine, Hitam Mutiara Sparkling Crystal Shine, Perak Metalik dan Biru Mica Metalik.

TOYOTA HARRIER 2.0T LUXURY

• ENJIN: 1,998cc Empat silinder 16V DOHC Twin-scroll Turbocharged VVT-iW&D-4ST

• TRANSMISI: Super ECT 6-kelakuan

• KUASA MAKSIMUM: 231 PS @ 5,200-5,600 rpm

• TORK MAKSIMUM: 350 Nm @ 1,650-4,000 rpm

• CIRI KESELAMATAN: 7 beg udara, ACC with Dynamic Radar Technology, LKA, LDA, PCS, ABS, BA, VSC, TC, HAC, EBD, ESS dan ISOFIX.

• HARGA: RM259,900 (termasuk GST tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 1:37 AM