Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Sejak diimport dan diedar secara rasmi oleh UMW Toyota Motor (UMWT), sebanyak 3,000 model Alphard dan Vellfire sudah dijual menerusi pengedar sah UMWT seluruh negara.

Lepas diperkenalkan pada 2014, kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah berkenaan sentiasa mendapat perhatian daripada orang ramai yang mahukan kenderaan keluarga berciri premium. Jualan kedua-dua model berkenaan menguasai 50 peratus pasaran MPV premium tempatan.

Selain dikenali kerana kelebihan nilai dengan penawaran kelengkapan terbaik, Alphard dan Vellfire dijual pengedar sah Toyota hadir dengan jaminan pengeluar selama lima tahun dan sokongan selepas jualan secara menyeluruh.

Bagi varian tahun ini, kedua-dua model berkenaan menerima peningkatan dan penambahbaikan bagi memberi lebih nilai kepada pelanggan. Spesifikasi terkini adalah enjin dan transmisi terbaru yang hanya boleh didapati daripada pengedar rasmi Toyota sahaja.

Toyota Alphard

Seperti yang lalu, Alphard dibawa dalam dua varian iaitu Alphard 3.5 Executive Lounge yang menawarkan tahap kemasan Premium Luxury dan Alphard 3.5 yang menawarkan kemasan Advanced Luxury.

Kedua-dua varian itu kini dilengkapi enjin baru 2GR-FKS 3.5L V6 yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan kawalan elektronik. Enjin baru lebih berkuasa ini dilengkapi sistem suntikan D-4S yang memberikan penyaluran minyak optimum dalam setiap keadaan.

Sistem ini menggunakan penyuntik tekanan tinggi dan rendah untuk memenuhi keperluan pembakaran dalam keseluruhan julat kelajuan enjin.

Sistem Variable Valve Timing-intelligent Wide (VVT-iW) membekalkan tork tinggi daripada julat rpm paling rendah hingga kepada paling tinggi. Ia menggabungkan kitaran Atkinson untuk meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dan kitaran Otto untuk kelebihan kuasa.


MEWAH dan selesa.

Beberapa ciri kejuruteraan lain seperti sistem Auto Stop & Start membantu penjimatan bahan api apabila mengurangkan pembakaran dan pelepasan asap.

Penampilan menonjol Alphard diserlahkan dengan konsep ‘Bravely Magnificent’ dan bagi model terbaru ini, imej dinamik dan formalnya menerima sentuhan baru.

Bahagian tengah gril kini lebih ke hadapan, memberi penekanan terhadap struktur tiga dimensi (3D) pada rekaan melintang bermula daripada logo sehingga ke bahagian lampu.

Pada bahagian sisi, rekaan lampu utama projektor digunakan dengan unit lampu bahagian bawah menampilkan pencahayaan panduan manakala lampu isyarat pula kini didatangkan dengan ciri cahaya berturutan (sequential).

Daripada bahagian belakang, Alphard memiliki imej yang lebar dan kuat, disumbangkan kemasan melintang bersama lampu 3D berbentuk L memberikan imej kedudukan kenderaan lebih rendah.

Alphard 2018 menggunakan rim aluminium aloi 18 inci dengan rekaan dan penggayaan baru lebih sporty.

Pelanggan boleh memilih lima warna berbeza termasuk warna baru, Graphite Metallic selain Putih Mutiara Luxury CS, Hitam Burning CS, Putih Mutiara CS dan hitam.

Bahagian dalamnya turut menerima sentuhan kemewahan pelbagai seperti bahagian perehat lengan daripada kulit sintetik berbanding material plastik lembut bagi model 2017.

Bagi varian Alphard 3.5 Executive Lounge, kemasan jahitan silang kini lebih luas di tempat duduk belakang termasuk rekaannya diubah kepada tema menegak untuk tampak lebih moden.


RUANG dalaman premium.

Kemasan corak kayu digunakan juga menerima pembaharuan supaya lebih segar.

Sebagai MPV kelas premium, tempat duduknya menawarkan keselesaan optimum dengan operasi kuasa elektrik di barisan pertama dan kedua.

Varian Executive Lounge dilengkapi kerusi VIP saiz besar manakala Alphard 3.5 hadir dengan kerusi Kapten.

Tambahan lain termasuklah pad pengecas tanpa wayar bagi peranti dengan sistem Qi dan Digital Full Display Mirror yang memberikan pandangan lebih luas dan jelas.

Selain pantulan permukaan biasa, cermin berteknologi tinggi ini memaparkan imej dari kamera yang terletak di belakang kenderaan, menjadikan penglihatan lebih jelas tanpa mengira cuaca.

Aspek keselamatan turut dipertingkatkan apabila hadir dengan teknologi Blind Spot Monitoring System, Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Panoramic View Monitor (PVM) sebagai pilihan.

Toyota Vellfire baru

Seperti Alphard, Vellfire menerima perubahan kosmetik yang menyerlahkan identiti uniknya. Model baru ini menampilkan reka bentuk tiga dimensi (3D) pada bahagian hadapan, lebih menonjol dan menyerlahkan kesatuan yang ada termasuk bahagian badannya.

Ini memberikan rekaan lebih dinamik termasuk padanan rim aloi 18 inci rekaan baru.

Bagi memadankan rekaan kiubik pada bahagian hadapan Vellfire, bahagian atas lampu utamanya menggunakan dua projektor berbentuk petak.


KAMERA memaparkan imej sekeliling.

Seperti Alphard 2018, peningkatan bahagian dalamannya dengan material kulit dinaik taraf untuk memberikan lebih keselesaan, lengkap dengan pendingin hawa pada kusyen dan penyandar kerusi.

Untuk kemudahan penumpang, bukan sekadar port USB disediakan, malah pad pengecas tanpa wayar juga disediakan melalui penggunaan kuasa tanpa wayar piawaian Wireless Power Consortium (WPC). Ciri Digital Full Display Mirror pula memberikan pandangan lebih luas dan jelas.

Bagi aspek keselamatan, Vellfire didatangkan dengan sistem Blind Spot Monitoring misalnya akan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya terdapat kenderaan lain pada titik buta selain RCTA dan pilihan pemasangan sistem PVM.


PORT USB untuk cas sebarang gajet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 1:18 AM