PERLUMBAAN sengit dalam Vios Challenge.
PELUMBA Vios Challenge bergambar sebelum perlumbaan.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my


Seperti dijangka, pelumba negara dan Raja Drift, Tengku Djan Lee Tengku Mahaleel, menepati ramalan untuk mengungguli kategori Super Sporting dalam perlumbaan Vios Challenge musim pertama yang menutup tirainya, minggu lalu.

Perlumbaan sempena festival Toyota Gazoo Racing (TGR) menyaksikan semua pelumba memberi sepenuh komitmen untuk merebut gelaran juara sulung festival berkenaan.

Tengku Djan berjaya menewaskan dua pencabarnya, William Ho di tempat kedua manakala pelumba ST Wangan Racing Team, Boy Wong tempat ketiga.

Menurut Tengku Djan, walaupun gagal meraih kedudukan podium pada pusingan pertama, kegagalan itu ditebus dengan kemenangan podium pada perlumbaan kedua.

“Ketika mendahului pada pusingan kedua, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

“Berbanding pusingan pertama, saya lebih yakin ketika perlumbaan pusingan kedua,” katanya.

Selain perlumbaan membabitkan pelumba profesional, paling mencuri tumpuan adalah kategori Promotional yang membabitkan selebriti tempatan.

Walaupun Shukri Yahaya berjaya meraih kedudukan podium ketika perlumbaan terakhir, kemenangan itu gagal mengugat Shawn Lee yang selesa menduduki tempat teratas pungutan mata keseluruhan.

Tempat ketiga diraih Danny Khoo selepas Shukri Yahaya menambah kedudukan mata untuk berada di tangga kedua bagi kategori berkenaan.

Kategori promotional antara pesertanya Janna Nick, Fattah Amin, Diana Danielle, Geraldine Gan dan Venice Min.

Shawn Lee ketika ditemui, mengucapkan terima kasih kepada UMW Toyota Motor kerana memberi peluang kepadanya untuk berlumba.

“Ketika kanak-kanak, saya pernah mengimpikan untuk menjadi pelumba dan UMW Toyota Motor merealisasikan impian saya selama ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit terutama pelumba selebriti sepanjang perlumbaan Vios Challenge musim pertama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shukri turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penganjur.

Sementara itu, pelumba pasukan Dream Chaser, Brendan Paul Anthony mencatat nama sebagai pemenang musim pertama kategori Sporting, menewaskan pelumba pasukan Tedco Racing, Brandon Lim Boon Yew dan Kenneth Koh Keik Lun daripada Panglima City Racing Team.

Menurut Brendon, perasaan gementar menyelubungi dirinya sebaik perlumbaan bermula, tambahan pula ia adalah pusingan terakhir Vios Challenge.

“Saya tidak mahu perasaan (gementar) ini mengganggu fokus sehingga melakukan banyak kesilapan.

“Tetapi saya berjaya mengawal perasaan dan jentera dengan baik sehingga ke garisan penamat,” katanya.

Pemenang pertama setiap kategori membawa pulang Toyota Vios manakala wang tunai RM20,000 untuk tempat kedua dan RM10,000 bagi tempat ketiga selain trofi.

Festival TGR musim pertama yang berlangsung di empat lokasi mendapat sambutan menggalakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 11:03 AM