RUANG kokpit kelihatan premium.
HILUX L-Edition lebih garang.
MPV Sienta serba mewah.
TOYOTA Sienta lebih bergaya.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan dua varian ‘L-Edition’ bagi Toyota Hilux, menjadikannya lebih premium dan gah. Hilux L-Edition (L merujuk pada ‘Luxury) dibangunkan dan ditawarkan dalam varian 2.8L dan 2.4L.

Membezakan versi L-Edition daripada varian terdahulu adalah bahagian hadapan lebih lebar dan agresif dengan rekaan heksagon pada gril dikelilingi kemasan krom.

Perubahan ini menyerlahkan lagi sisi gagah Hilux selain bahagian pemijak belakang disertai kemasan warna perak.

Hilux L-Edition hadir dengan rim 18 inci lima jejari bergaya dengan warna dwi tona.

Menyentuh mengenai ruang dalam pula, Hilux L-Edition menggunakan tema kemasan serba hitam, menawarkan imej lebih menonjol dan eksklusif. Tempat duduk disaluti kombinasi kulit dengan liang udara untuk tawaran keselesaan tambahan kepada penumpang.

Khusus bagi Hilux 2.8 L-Edition, ia didatangkan dengan odometer Optitron dengan pencahayaan latar.

Bagi aspek keselamatan, model L-Edition dilengkapi tujuh beg udara, Kawalan Keselamatan Kenderaan (VSC), Active Traction Control (A-TRC) dan Hill-start Assist Control (HAC) sebagai ciri standard termasuk Downhill Assist Control (DAC) bagi model 2.8 L-Edition.

Sementara itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Sienta didatangkan dengan aksesori dipertingkatkan selain beberapa ciri tambahan baru. Sejak diperkenalkan pada 2016, model berkenaan menawarkan nilai premium MPV kompak bagi pengguna urban yang berkeluarga dengan menampilkan rekaan unik.

MPV kompak ini kini dilengkapi sistem DVD-AVX 6.9 inci dinaik taraf, lengkap dengan ciri Bluetooth, HDMI, input kad SD serta kamera undur. Pelanggan boleh menaik taraf kepada sistem DVD-AVN tujuh inci yang didatangkan dengan sistem tunjuk arah (GPS).

Ciri baru Panoramic View Monitor juga ditawarkan sebagai pilihan, membolehkan pemandu meletak atau mengeluarkan kenderaan di ruang parkir dengan mudah.

Slot pengecas USB juga disediakan pada tempat duduk barisan kedua untuk penumpang.

Semua model Toyota didatangkan dengan jaminan lima tahun dan tanpa had perbatuan (kecuali Hilux dengan perbatuan maksimum 150,000 kilometer).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 10:58 AM