SEBAHAGIAN ‘bikers’ yang hadir.
ACARA perasmian MBW 2018.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


Derumam enjin pelbagai jenis motosikal membanjiri Minggu Permotoran Malaysia (MBW) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), minggu lalu.

Acara anjuran Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya menarik lebih 350,000 peminat permotoran tempatan dan negara jiran.

Menariknya, jambori terbesar itu dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara yang mencuri tumpuan adalah koleksi kenderaan Sultan Johor seperti motosikal Harley-Davidson, bas ‘coach’, kenderaan tiga roda Morgan, pacuan empat roda dan trak Mack.

Selain itu, pelbagai pameran agensi kerajaan dan swasta seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Benelli, Royal Enfield dan Harley-Davidson menambah kemeriahan MBW 2018.

Presiden GPMOTO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kehadiran pengunjung sepanjang MBW 2018 melebihi sasaran awal sekitar 100,000 orang.

“Saya melihat penganjuran sebegini membolehkan peminat dua roda berkumpul tanpa mengira jenis dan kuasa enjin untuk berkongsi pandangan serta minat,” katanya.

Sebaik pameran dibuka jam 9 pagi, pelbagai aktiviti diadakan antaranya tarian zumba, ceramah pakar permotoran, sesi ramah mesra bersama selebriti TV3, aksi lagak ngeri menggunakan motosikal dan sebagainya.

Hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM500,000 ditawarkan kepada pengunjung termasuk 40 motosikal Yamaha Y15ZR dan Benelli RFS 150i.

Cuaca panas tidak menghalang pengunjung terus berada di ruang pameran sehingga lewat petang untuk menyertai aktiviti diadakan selain membeli barangan motosikal daripada Givi Asia.

Sebelah malam pula, konsert membabitkan artis popular seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk Awie, Datuk Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan, Ella, Wanie Mentor, Akim & The Majistret menghiburkan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 10:48 AM