ANTARA pilihan warna ditawarkan.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Peminat skuter ikonik dari Itali, Vespa boleh menambah koleksi kesayangan mereka apabila pengedar rasmi jenama berkenaan, Naza Premira Sdn Bhd melancarkan Vespa GTS Super 300 yang lebih eksklusif.

Dengan tema ‘Bukan Untuk Semua’, model terbaru itu menyerlahkan lagi ciri premium Vespa yang menggambarkan ekspresi gaya hidup unik dan tersendiri.

Perbezaan paling ketara bagi model ikonik ini adalah kapasiti enjin Quasar silinder tunggal 278.3cc sejukan cecair buatan Itali yang menghamburkan kuasa maksimum 21.2kuasa kuda (hp) pada 7,750rpm dan tork maksimum 22Nm pada 5,000rpm.

Kuasa dibekalkan memastikan tindak balas pendikit lebih pantas, sesuai untuk bergerak di kawasan urban atau memecut di lebuh raya.

GTS Super 300 tidak hanya bersifat sporty dan unik tetapi memiliki gaya muda yang bersesuaian dengan taraf hidup moden dan bergaya di negara ini.

Model ini turut mengekalkan identiti asal varian GTS dengan susuk fizikal lebih tegap dan besar selain ruang penyimpanan mampu memuatkan topi keledar dengan sempurna.


VESPA GTS 300 tunggangan mengujakan.

Dengan keselamatan tetap sebagai keutamaan, Vespa GTS Super 300 hadir bersama Sistem Brek Anti Kunci (ABS) pada roda hadapan dan belakang serta Anti Slip Regulation (ASR) yang membantu meningkatkan kawalan kenderaan.

Selain itu, skuter premium ini dilengkapi penggera antikecurian yang mengunci fungsi

kawalan unit enjin secara automatik sekiranya cuba dihidupkan dengan cara di luar kebiasaan.

Antara pembaharuan lain termasuklah sistem pencahayaan dengan teknologi LED, sistem operasi jauh elektrik pada pelana, paparan skrin LCD dan port USB yang membolehkan pengecasan mudah alih gajet elektronik.

Dijual pada harga RM25,540 (tanpa GST dan insurans), empat pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Monte Bianco, Hijau Verde Speranza, Hitam Grigio Titianio dan Kuning Giallo Gelosia.


MODEL bergaya bersama Vespa GTS 300.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 9:34 AM