Mohd Zaky Zainuddin
zaky@nstp.com.my

Lexus Malaysia melancarkan generasi kelima sedan mewah Lexus LS 500 yang kekal sebagai pendahulu dari segi teknologi selain penanda aras dalam kelasnya.

Menggunakan platform berprestasi tinggi sama dengan model premium LS lain, model terbaru ini menggunakan enjin 3.5L V6 turbo berkembar dengan transmisi automatik 10 kelajuan yang pertama di dunia.

Tiga varian ditawarkan iaitu LS 500 Luxury, LS 500 Executive dan LS 500h Executive dengan Lexus Hybrid Drive. Pengenalan generasi baru ini menyaksikan Lexus LS 500 memiliki nadi 415 kuasa kuda (hp) dengan tork maksimum 600 Nm.

Enjin serba baru dibangunkan khusus untuk siri LS itu dipadankan dengan teknologi perlumbaan F1. Saiz enjin lebih kecil berbanding sebelumnya yang menggunakan enjin V8 membolehkan emisi rendah karbon, mesra alam dan cekap bahan api.

Presiden Lexus Malaysia, K Ravindran, berkata LS 500 dipenuhi aspek premium, mewah, inovasi, prestasi dan keselamatan.


BAHAGIAN hadapan tampil garang.

“Model ini menjadi jentera sedan berprestij dan paling berkuasa dengan Konsep Omotenashi memenuhi keperluan pemandu dan penumpang.

“Konsep premium ini diperkukuh dengan usahasama jenama dengan pakar teknologi audio, Mark Levinson yang menjadikannya benar-benar mengagumkan,” katanya ketika majlis pelancaran.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Lexus Malaysia, Akio Takeyama.

Melihat pada penampilan luarannya, Lexus LS ternyata lebih garang dengan jeriji unik di bahagian hadapan sporty, ditambah pusat graviti rendah. LS ini juga menjadi model pertama Lexus memiliki profil enam tingkap untuk memberi tahap penglihatan terbaik.

Reka bentuk dalaman menggunakan falsafah ‘Yet’ menawarkan ruang mewah dan keselesaan optimum. Rekaan dalaman ini menerima sentuhan budaya Jepun yang menggabungkan ciri tradisional tetapi termaju.


RUANG dalaman disaluti material premium.

Sistem audio Mark Levinson membangunkan pakej spesifik dan hadir dengan ciri ‘Quantum Logic Immersion Technology’ dengan 23 speaker dan amplifier 16 saluran yang menghasilkan pengalaman seperti konsert dalam dewan.

Dari segi keselamatan, Lexus LS 500 didatangkan bersama portfolio teknologi keselamatan aktif dalam Sistem Keselamatan Lexus termasuk Pre-collision Safety System, Lane Departure Alert dengan Lane Keep Assist, Dynamic Radar dan Adaptive Cruise Control serta Automatic High Beam System.

Didatangkan dalam 11 pilihan warna luaran dan enam warna/trim dalaman, Lexus LS 500 Luxury dijual pada harga bermula RM799,000, LS 500 Executive (RM999,000) dan LS 500h Executive (RM1.4 juta).


LAMPU utama tirus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 9:24 AM