BMW Concept 8 Series
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Selepas menjelajah ke serata dunia, satu-satunya jentera BMW Concept 8 Series yang dibina akhirnya dipertontonkan di negara ini bersempena BMW Luxury Excellence Pavilion di ibu negara.

Selepas julung kali dipertontonkan kepada umum di Jerman, model konsep kenderaan sport BMW ini kemudian dibawa ke Russia, Itali, Kanada dan Singapura hingga menjadi antara tarikan utama dalam ruangan eksklusif yang dibina bagi menonjolkan kelebihan dan teknologi jenama itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Han Sang Yun berkata, model dan konsep pameran itu adalah pendekatan baru dalam mendedahkan kepada orang ramai mengenai idea rekaan dan teknologi pembuatan kenderaan premium pada masa akan datang.


HAN (kanan) bersama BMW Concept 8 Series di Kuala Lumpur.

“Kami memberikan pelanggan pengalaman berbeza dalam berkongsi visi kemewahan moden BMW dalam industri automotif dunia.

“Ia juga adalah gambaran awal model yang bakal dilancarkan tahun ini BMW 8 Series Coupe yang dibina atas platform coupe sporty bersaiz besar,” katanya ketika majlis perasmian.

Antara ciri unik model konsep ini ialah rekaan gril hadapan berbentuk ‘ginjal’ lebih lebar, lampu hadapan berkembar tirus dan ruang kemasukan udara lebih luas untuk penampilan lebih sporty.


ANTARA model dipamerkan di BMW Luxury Excellence Pavilion.

Elemen gentian karbon sebagai karakter kenderaan berprestasi tinggi dengan kemasan warna Barcelona Grey Liquid menyerlahkan keseluruhan ciri dinamik kenderaan ini.

Rekaan bahagian belakang dipengaruhi garis yang membentuk bahagian belakang kereta dengan lampu berbentuk L menjadikannya tampil berbeza.


LAMPU belakang unik.

Ditambah dengan ‘arch’ roda menyerlahkan elemen kuasa dinamik serta ruang tempat duduk dan bahagian belakang lebar dapat dilihat dengan jelas pada BMW Concept 8 Series.

Pada bahagian kabin, konsol tengah dan pintu menggabungkan elemen sporty serta mewah termasuk panel instrumen direka kemas selain tempat duduk sports eksklusif dengan rekaan nipis daripada kerangka gentian karbon.


KABIN sentuhan futuristik.

Stereng futuristik dan ‘paddle shifter’ merah gaya perlumbaan diserlahkan dengan tuil gear dan iDrive Controller diperbuat daripada kaca Swarovski.

Kereta sports konsep eksklusif ini menyerlahkan aspek kesungguhan, kuasa dan prestasi untuk jenama BMW dalam menawarkan kenderaan yang mempunyai karakter untuk gaya hidup pemiliknya.


TUIL gear diperbuat daripada kaca berkualiti tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 9:45 AM