PEMILIK bersama jentera lasak kesayangannya.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
news@nstp.com.my


Jentera pacuan empat roda sememangnya dicipta untuk tujuan lasak dan sudah pasti hadir dengan enjin berkuasa bagi mengharungi sebarang laluan.

Antaranya Toyota Land Cruiser FJ47 1982 yang sering dijadikan jentera lasak dengan modifikasi untuk menaik taraf kuasanya.

Sesuai dengan kegunaannya untuk tujuan lasak, jentera ini menggunakan nadi lebih besar keupayaannya daripada 2H kepada 12HT Turbo bersesaran 4,000cc.

Selain itu penukaran kotak gear manual turut mengalami perubahan daripada empat kepada lima gear.

Ini membolehkan jentera ini sesuai digunakan di jalan raya atau laluan lasak yang paling mencabar.


KETINGGIAN yang sesuai untuk kegunaan lasak.

Menurut pemiliknya, Hery Kesuma Syarif, 40, semua komponen enjin diimport terus dari Jepun berikutan kosnya lebih rendah berbanding yang dijual di pasaran tempatan.

“Jentera pacuan empat roda lasak ini bukan untuk kegunaan harian atau pameran untuk saya meletakkan hiasan berlebihan.

“Pelbagai komponen luaran dan warna asal dikekalkan,” katanya.


RUANGAN pemanduan kemas.

Namun Hery berkata, bahagian hadapan jentera kelihatan sedikit berbeza apabila perumah lampu hadapan dan gril diperkemas dengan celupan warna krom.

Padanan rim dengan balutan tayar khas untuk kegunaan lasak menjadikan imejnya lebih sporty.

Bahagian dalaman turut menerima sentuhan baru apabila komponen yang lusuh digilap semula termasuk meter kelajuan.


PERUMAH dan meter kelajuan asal diperkemas.

Bahagian tempat duduk diperkemas dengan material khas supaya lebih bergaya.

Ketika ditanya mengenai kos, pemilik mengakui membelanjakan hampir RM20,000 dan segala proses modifikasi dilakukannya sendiri.


ENJIN 12HT 4,000cc dengan kuasa turbo.

TOYOTA LAND CRUISER FJ47 1982

• ENJIN: 12 HT Turbo 4,000cc

• TRANSMISI: Manual lima kelajuan

• KERUSI: Balutan material khas

• PERUMAH LAMPU DAN GRIL: Kemasan krom

• KOS MODIFIKASI: RM20,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 2:36 AM