RX 350 L dengan tujuh tempat duduk.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Selepas 20 tahun Lexus RX diperkenalkan di pasaran tempatan, kini model berkenaan hadir dengan varian terbaru.

Paling ketara, Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) ini varian pertama didatangkan dengan tujuh tempat duduk.

RX 350L julung kali dilancarkan di Los Angeles, Amerika Syarikat November tahun lalu.

Pengedar utamanya, Lexus Malaysia membawa masuk ke pasaran tempatan Februari lalu.

Mengekalkan rekaan sama dengan model lima tempat duduk, ia diserlahkan rekaan lengkungan tajam dan gril hadapan signatur bersama lampu hadapan LED.


PANJANG kenderaan ditambah 110 mm.

Bahagian belakang didatangkan ekzos tunggal dan lampu LED berbentuk L bergaya pada tiang C yang berkonsepkan ‘bumbung terapung’.

Walaupun tiada perubahan ketara berbanding varian lain, panjang keseluruhan model terbaru ini ditambah 110 milimeter bagi menawarkan keselesaan penumpang di baris tempat duduk ketiga.

Bahagian bumbung diberi sentuhan baru dengan kelegaan ruang kepala selain memudahkan pergerakan penumpang keluar masuk.


LAMPU belakang LED berbentuk L.

Tempat duduk belakang pula boleh direbahkan dengan nisbah 40/20/40 termasuk suis elektrik pada kerusi baris ketiga.

Pendingin hawa dengan sistem tiga zon dan butang larasan untuk penumpang belakang membolehkan suhu diselaraskan mengikut kesesuaian individu.

Lexus RX 350L dikuasakan enjin petrol 3.5L V6 VVT-iW yang menjana 289 kuasa kuda (hp) pada 6,300rpm dan tork 358Nm pada 4,600 hingga 4,700 rpm.

Kotak gear automatik lapan kelajuan dikawal komputer sepenuhnya memberikan prestasi lancar dan optimum.


BAHAGIAN belakang lebih fleksibel.

Tiga mod pemanduan ditawarkan iaitu Normal untuk kegunaan harian, Sport S untuk prestasi manakala ECO bagi agihan kuasa lebih efisien.

Untuk pasaran tempatan, tiga varian diperkenalkan iaitu Premium, Luxury dan F Sport dengan harga jualan bermula RM388,800 hingga RM422,900 (tanpa insurans).

Tujuh warna pilihan dengan kemasan cat anti calar selain didatangkan bersama jaminan lima tahun pengeluar tanpa had perbatuan.


RUANG dalaman selesa dan mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 2:33 AM