ENJIN empat silinder 16 injap yang menjimatkan minyak.
KOKPIT pemandu yang ringkas.
PERUMAH lampu depan jenis reflektor.
GAYA MPV yang sesuai untuk pemanduan harian.
HM Digital

Saiznya yang besar sudah cukup menggambarkan keupayaan kenderaan pelbagai guna (MPV) ini mampu membawa penumpang ramai, sekali gus satu kelebihan bagi mereka yang berkeluarga besar.

Maka tidak hairan Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) terus mempertaruhkan model MPV 12 tempat duduknya Hyundai Grand Starex Royale versi ‘facelift’ dengan pelbagai penambahbaikan khususnya reka bentuk bahagian luarannya.

Perubahan paling ketara dilihat ialah pada gril hadapan Starex facelift ini yang menampilkan rekaan menyerupai sebuah MPV keluaran Jepun yang terkenal. Gril dengan kemasan krom ini kelihatan cukup besar dan menampilkan imej yang garang dan elegan.

Gril ini dilihat seakan-akan bersambung dengan liang kemasukan udara pada bahagian bampar dan memberikan bentuk X secara keseluruhan. Lampu kabus pada kedua-dua sisi bersama perumahnya juga direka semula bagi memadankan keseluruhan perubahan pada bahagian hadapan MPV.

Pada bahagian kiri dan kanan bamper, lampu nyalaan siang LED yang cukup jelas dilihat pada waktu siang dan malam, manakala lampu belakangnya diberikan sentuhan baru dengan pelindung berwarna hitam yang nampak cukup sporty. Hyundai Starex ini juga dilengkapi bamper belakang serba baru yang menampilkan perumah ekzos dikelilingi kemasan krom.

Melihat kepada bahagian sisi pula, lampu cermin sisi masih dikekalkan tanpa berfungsi sebagai lampu nyalaan siang LED, manakala rim aloinya bersaiz 16 inci menerima rekaan baru selari dengan padanan skirting sisi.

Menjengah ke ruang dalamannya, MPV ini dipadankan dengan kerusi saduran kulit serba mewah. Jika mengikut kepada spesifikasi pada laman web Hyundai Malaysia, Hyundai Starex dikategorikan sebagai MPV 11 tempat duduk jika ditolak kerusi di tengah-tengah pemandu dan penumpang hadapan.

Bagaimanapun, kerusi barisan hadapan pemandu boleh memuatkan sehingga tiga penumpang, manakala tiga baris kerusi disediakan dibahagian belakang dengan setiap baris boleh dilaras bagi tujuan keselesaan.

Dua baris kerusi belakang pada bahagian tengahnya boleh dilipat bagi memudahkan kemasukan penumpang. Apabila bahagian tengah itu dilipat ia juga berfungsi sebagai tray meja meletak makanan atau minuman. Kerusi pada barisan pertama di belakang juga boleh dipusing sehingga 180 darjah.

Bagaimanapun, kerusi dilorong tengah itu dilihat sesuai untuk kanak-kanak bawah 10 tahun dan jika orang dewasa menggunakannya mungkin sesuai untuk jarak perjalanan yang dekat kerana kerusi itu tidak disediakan bahagian alas kepala.

Sekiranya tiada barangan besar yang dibawa dan seluruh kerusi digunakan, MPV itu cukup selesa dinaiki sehingga 12 penumpang dewasa atau kanak-kanak. Namun, jika memerlukan ruang untuk membawa barangan besar, kerusi baris ke empat boleh dilipat dan ditolak ke hadapan.

Daripada aspek hiburan pula, Grand Starex Royale ini dipadankan dengan skrin monitor DVD bersaiz 7 inci di bahagian belakang dan skrin monitor untuk penumpang hadapan yang lengkap dengan suis kawalan jauh. Ruang pendingin udara juga lengkap disediakan untuk keselesaan penumpang belakang dan tombol kawalan suhu juga disediakan di tengah bumbung kenderaan ini.

Untuk memudahkan penumpang belakang keluar atau masuk, suis kawalan automatik pintu gelungsur turut disediakan berhampiran tombol gear cuma pergerakan pintu ini agak perlahan berbanding MPV lain yang pernah penulis pandu uji sebelum ini.

Meskipun saiznya besar, jentera ini tiada masalah untuk meluncur laju dilebuh raya kerana enjin diesel 2.5 liter CRDi dipadankan pengecas turbo dengan geometri bervariasi (VGT) yang mampu menghamburkan kuasa 170PS pada takat 3,800rpm dan tork maksima 392Nm bermula 2,000 hingga 2,500rpm.

Ketika dipandu uji, dengan tangki penuh MPV itu mampu bergerak lebih 500 kilometer pada kelajuan tinggi ataupun kadangkala mendatar.

Untuk keselamatan, Grand Starex Royale dilengkapi dua beg udara keselamatan, sistem brek dengan ABS dan EBD serta Program Stabiliti Elektronik (ESP) selain dipadankan kamera keselamatan pemanduan secara standard.

Hyundai Grand Starex Royale Deluxe versi facelift dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM183,588. Tiga warna masih kekal dalam brosur Starex iaitu Creamy White, Timeless Black dan Hyper Silver. Waranti pengeluar selama lima tahun atau 300,000km (yang mana sampai dulu) serta bantuan tepi jalan 24 jam turut kekal diberikan kepada pelanggan dengan setiap pembelian MPV ini. Tempahan dan pandu uji dibuka untuk mereka yang berminat di semua bilik pameran Hyundai seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:35 AM