TIGUAN generasi kedua serba baru.
HM Digital

Kebanjiran model utiliti sukan (SUV) bersaiz kompak di negara ini yang dipelopori pengeluar automotif dari Jepun membuktikan model ini mendapat pasaran baik mungkin disebabkan ia lebih praktikal dan sesuai untuk apa jua jenis pemanduan.

Selari dengan perkembang semasa, Volkswagen turut memperkenalkan generasi terkini Volkswagen Tiguan yang mengalami perubahan cukup drastik dari segi reka bentuk luaran, malah dalaman.

Tiguan serba baru kini lebih elegan dengan ruang kabin luas dan fleksibel, direka dengan ketelitian dari mula ia dihasilkan hingga proses pemasangan akhir.

Generasi kedua model itu mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan catatan pengeluar 6.7 liter setiap 100km, mampu menjangkau jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh atau Pulau Pinang dan berpatah balik dengan petrol hanya satu isian penuh.

Untuk pasaran Malaysia, dua varian ditawarkan iaitu Comfortline dan Highline dengan perbezaan beberapa ciri luaran serta dalaman seperti lampu nyalaan siang (DRL), rim 17 dan 18 inci, lampu isyarat serta kemasan dalaman seperti kerusi kulit Vienna dan fabrik daripada Rhombus.

Selaku penerima Anugerah Reka Bentuk Jerman 2017, Tiguan kini tampil dengan rekaan lebih mudah tapi elegan dengan ciri kenderaan Eropah jelas dan mantap ketika meluncur di atas jalan.

Dilengkapi enjin 1.4 liter TSI pengecaj turbo suntikan terus dengan kotak gear klac basah Direct Shift Gearbox (DSG) enam kelajuan, ia menjana kuasa 150PS dan daya kilas 250Nm di antara 1,500 sehingga 3,500rpm.

Jika dibandingkan dengan generasi pertama, model terbaru ini lebih panjang 4,486mm, lebar (1,839mm) dan rendah (1,664mm) menjadikan ia kurang olengan serta ruang lebih selesa ditawarkan.

Menjengah ke bahagian dalaman pula, varian Highline menerima ciri Paparan Info Aktif bagi kemudahan pelbagai maklumat perjalanan termasuk Bantu Parkir yang dipaparkan sangat jelas dan mudah.

Selain itu, pada papan pemuka dengan skrin sesentuh berwarna 8 inci bagi kemudahan ketersambungan hiburan dan maklumat mengenai kenderaan mudah dikendalikan.

Roda stereng rekaan sporty dengan pedal penukar gear bukan saja mudah dan pelbagai fungsi, malah memberikan gaya pemanduan prestasi buat mereka yang mahukan pengendalian lebih lasak.

Selain itu, pendingin hawa tiga zon memberikan kenyamanan sepanjang perjalanan yang boleh dilaras mengikut keselesaan pemandu dan penumpang belakang serta dilengkapi sistem bunyi terbaik bagi alunan muzik.

Untuk membawa muatan, Tiguan adalah model yang praktikal dan fleksibel dengan ruang 40/20/40 memberikan kapasiti penyimpanan yang luas sehingga 615 liter tanpa perlu melipatkan kerusi.

Elemen keselamatan pula dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Respons Kemalangan Pintar (ICRS), Brek Parkir Elektronik (EPB), ISOFIX dan Kawalan Hill-Hold.

Kesimpulannya, model Tiguan adalah SUV paling laris jualannya untuk jenama Volkswagen yang terjual sebanyak 2.8 juta unit di pasaran lebih 170 negara.

Pelbagai ciri terkini dan keselamatan terbaik ditawarkan, ia adalah kenderaan yang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga dengan perincian seperti dulang hidangan dan cagak ISOFIX untuk kerusi bayi sedia terpasang.

Lima warna ditawarkan iaitu putih, hitam, biru, perak dan kelabu pada harga asas bermula RM148,990 (Comfortline) serta RM168,990 (Highline) dengan waranti dan bantuan kerosakan di jalanan selama lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:31 AM