TAMPIL ringkas dan mantap.
HM Digital

Pasaran kenderaan sedan di negara ini sangat besar dan tidak hairan kebanyakan pengeluar automotif di negara ini memberi tumpuan kepada segmen berkenaan dalam memperkenalkan model kenderaan masing-masing.

Bagaimanapun, tidak semua syarikat automotif berani menawarkan model yang memiliki enjin berkuasa kurang 1.5 liter. Berlainan bagi syarikat dari Jerman ini yang mempertaruhkan sedan segmen C bersaiz sederhana yang mempunyai gaya dan prestasi dengan enjin berkuasa 1.4 liter.

Menerusi model Volkswagen Jetta yang dipadankan dengan enjin turbo tunggal 1.4L TSI, ia sebuah enjin yang bertenaga dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan mampu menjana kuasa 150PS dan tork 250Nm memberi keseimbangan tenaga sama ada untuk memecut atau pada kelajuan rendah.

Sejak diperkenalkan pada 2011 di Malaysia, model itu menjadi model popular Volkswagen dan selepas lebih lima tahun, Jetta baru dilancarkan untuk pasaran tempatan dengan tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan Highline yang dipasang sepenuhnya di negara ini (CKD).

Ciri menarik model ini yang mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan fungsi mula dan henti, sistem brek janaan semula dan fungsi meluncur membuatkan bahan api mampu dijimatkan dengan kos penyenggaraan lebih rendah.

Ketika melalui jalan raya biasa terutama melintasi kawasan desa dengan pelbagai permukaan ketinggian dan selekoh, ia sungguh responsif terutama ketika hendak memotong kenderaan lain.

Apabila mengambil selekoh, sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) memberi pemanduan lebih baik tanpa hilang keseimbangan dan kenderaan tetap pada laluan serta Sistem Kunci Anti-Brek (ABS) juga berfungsi dengan baik ketika membrek secara drastik.

Ruang dalaman Jetta bukan saja selesa malah kelihatan kemas sesuai dipandu golongan eksekutif muda dan ciri kemasukan tanpa kunci KESSY, butang penghidup enjin dan stereng pelbagai fungsi balutan kulit memudahkan pemanduan.

Selain itu, kerusi pemandu dibaluti kulit Vienna, perehat tangan boleh laras, corong penyaman udara belakang dan hadapan dengan ‘dual-Climatronic’, tempat duduk pemandu elektrik serta sistem hiburan dengan pelbagai kaedah ketersambungan seperti pemain CD, USB, iPod dan Bluetooth.

Jetta baru ditawarkan dalam tiga varian dan harga jualan asas untuk Trendline bermula daripada RM108,990, Comfortline (RM117,990) serta Highline (RM128,990) dengan empat warna pilihan iaitu putih, kelabu, perak dan hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:27 AM