PEMILIK puas jentera kesayangan capai pecutan idaman.
ENJIN asal berkuasa.
MOHAMAD Zairuni bergaya di samping jenteranya.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Setengah pemilik kenderaan lebih gemar membiarkan jentera kesayangan berada dalam keadaan asal. Andai melakukan ubah suai, hanya membabitkan perubahan kosmetik dan tidak terlalu ekstrem.

Begitulah wawasan pemilik Proton Gen.2, Mohamad Zairuni Kordi, 24, di Kuala Kurau, Perak. Dia lebih gemar kenderaan kesayangannya kelihatan standard.

Jentera binaan 2006 itu masih mengekalkan nadi Campro 1,600cc tetapi kebanyakan komponen enjin sudah dinaik taraf ke produk berprestasi tinggi.

Menurut Mohamad Zairuni, antara komponen dinaik taraf ialah cam pulley Arospeed, pelaras bahan api Arospeed, crank pulley Works, highcam Matspeed 262, blok enjin 77, piston Saga BLM Hi-Com.

Selain itu, penggunaan kotak gear MIVEC RS membantu lancarkan agihan kuasa daripada nadi jentera. Penggunaan ekzos saluran terus dan peredam Spoon melonjakkan lagi sistem kuasanya.

Tidak hanya mementingkan komponen enjin, ciri luaran dan dalaman jentera turut diberi nafas baru.

Sepasang kerusi bucket Recaro bersama stereng Ralliart menghiasi ruang kokpit. Pada luarannya pula dihiasi pelekat tema Ultra Racing (UR) bagi menampakkan wajah lebih garang.

Lebih bergaya apabila jentera dipasangkan spoiler R3 dan kit badan binaan khas.

Bumbung matahari dua peringkat daripada Honda Stream digunakan selain rim TE37 dengan balutan tayar Bridgestone Potenza menaikkan imej jentera. Paling memukau bonet diperbuat gentian karbon daripada Mitsubishi EVO ternyata berjaya menarik tumpuan umum.

Menurut Mohamad Zairuni, kos ubah suai hanya menelan kos sekitar RM10,000 dan dia sangat berpuas hati terutama jentera berkenaan mampu memecut hingga kelajuan idaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:26 AM