D-MAX tampil bergaya dengan warna ungu baru.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Sentuhan lebih segar diberi terhadap trak pikap Isuzu D-Max melalui pengenalan warna baru selain peningkatan bahagian luaran dan dalaman lebih terkini.

Isuzu D-Max Premium dan Z-Prestige kini dilengkapi sistem hiburan dan maklumat bersama panel paparan bersaiz lapan inci dengan sambungan wiFi, USB, Bluetooth dan sistem pengesan kedudukan global (GPS).

Sistem itu juga kini lebih mesra pengguna apabila dilengkapi lokasi pusat pameran dan servis Isuzu di seluruh negara bagi memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan berkaitan.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Masayuki Suzuki berkata, model dipertingkatkan itu mengekalkan DNA utama seperti penggunaan bahan api efisien, ketahanan dan keupayaannya dalam laluan lasak.


KERUSI kulit baru.

“Ditambah ciri sporty, ia tampil menarik buat mereka yang mahukan kenderaan dengan pelbagai ciri keselesaan, fleksibiliti dan ciri terkini pada pikap,” katanya.

Antara ciri baru diperkenalkan termasuklah platform kargo gelungsur pada varian Z-Prestige.

Platform itu membolehkan kargo ditarik ke belakang bagi kemudahan pengguna mengambil barangan dan pada masa sama membantu mengelakkan kecederaan serta sakit belakang.

Untuk varian 3.0L dan Z-Prestige ditawarkan dengan kerusi kulit baru selain bentuk kontemporari corak geometri segi empat tepat pada ruang dalaman.

Paling menyerlah warna baru Ungu Cavalry Mica menggantikan Biru Nautilus Mica.

Warna eksklusif itu agak kehitaman dalam keadaan gelap tetapi bertukar ungu apabila terkena sinaran cahaya.


SISTEM hiburan dan maklumat baru.

Pikap itu dengan pilihan enjin diesel 2.5L DOHC VGS Turbo Intercooler menjana 134 kuasa kuda (hp) dan tork 320Nm manakala varian 3.0L menawarkan 175hp dan 380Nm.

Model itu dilengkapi ciri keselamatan seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Bantu Mula Bukit (HSA).

Untuk pasaran tempatan, varian terbaru ini dijual pada harga bermula RM105,811 bagi model premium dan RM130,354 (Z-Prestige).


PLATFORM kargo boleh ditarik ke belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 12:22 AM