PEMILIK bersama jentera kesayangannya.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my

Ramai mengaitkan jenama Bavarian Motor Works (BMW) hanya layak dipelopori golongan pertengahan usia dan berada.

Namun, dakwaan itu tidak selalu tepat kerana minat terhadap jentera buatan Jerman semakin menular dalam kalangan jiwa anak muda tempatan. Pelbagai model dan varian dibina dan satu daripadanya yang paling digilai adalah BMW E28 keluaran 1981 hingga 1988.

Bagi peminat tegar jentera ini yang hanya mahu dikenali sebagai Dev, 34, mengakui miliki empat kereta BMW pelbagai model tetapi paling disayangi adalah generasi kedua BMW 5 Series berkenaan.

Jentera E28 520i spesifikasi UK pada asalnya adalah kereta buruk yang tersadai sebelum dibeli dan dinaik taraf sehingga menjadi perhatian ramai.


BERGAYA dengan kit badan M-Tech dan rim 18 AC Type 3

“Paling membanggakan apabila jentera saya terpilih dan layak dipamerkan di Karnival Art Of Speed, tahun lalu.

“Jentera binaan 1985 ini masih menggunakan nadi asal M20B20 Motronic (manual) tetapi menjalani proses restorasi dengan komponen baru.

“Sistem kuasa dipertingkatkan dengan ekzos saluran terus Sebring Exhaust System manakala bahagian dalaman kekal asli,” katanya.

Menurut Dev, papan pemuka spesifikasi UK dan tempat duduk asal yang sebelum ini mengalami kerosakan serius berjaya dibaik pulih tanpa merosakkan keasliannya.


RUANG kokpit dibaik pulih dan asli.

Sudut luaran jentera menarik selepas menggunakan kit badan M-Tech selain warna hijau dan dibaluti pelekat tema ala pesawat perang digelar Bomber VF E28.

Keseimbangan jentera dikawal sepenuhnya suspensi boleh laras binaan khas dengan coil spring H&R.

Penggunaan rim 18 inci AC Type 3 Racing menaikkan imej jentera dan tampak lebih gah dengan balutan tayar Falken FK 452.


TOMBOL gear khas BMW.

Ditanya mengenai kos modifikasi dibuat BMW Doctor di Subang Jaya, Selangor, Dev enggan mendedahkannya.

Baginya, kos modifikasi tidak penting sebaliknya kepuasan melihat jentera kesayangannya menjadi sebutan ramai.


ENJIN asal dibaik pulih.

BMW E28 520i UK SPEC 1985

• ENJIN: M20B20 Motronic (manual)

• EKZOS: Binaan khas Sebring Exhaust System

• BODYKIT: M-Tech

• WARNA: Hijau Lambo dan Putih English

• PELEKAT: Bomber VF E28 ala pesawat perang

• RIM: AC Type 3 Racing 18 inci

• TAYAR: Falken FK 452

• PAPAN PEMUKA: Spesifikasi UK

• SUSPENSI: Binaan khas boleh laras dengan coil spring H&R

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 12:18 AM