KOJI (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Divisyen Kenderaan Komersial Isuzu Malaysia Mikio Tsukui bersama model jentera
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Isuzu Malaysia berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai pilihan pertama bagi kenderaan komersial sejak empat tahun lalu.

Walaupun berhadapan pasaran tidak menentu selain penyusutan nilai mata wang ringgit, Isuzu Malaysia tidak saja mampu mengekalkan kedudukan sebagai jenama pilihan nombor satu bagi kenderaan komersial, malah meraih 13 peratus penguasaan pasaran pikap termasuk 20 peratus peningkatan jualan terhadap alat ganti.

Berdasarkan maklumat jualan keseluruhan dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), baru-baru ini, trak tugas ringan Isuzu ELF masih kekal menjadi pilihan utama dengan 5,237 unit terjual tahun lalu.

Walaupun penurunan kecil dikesan pada Jumlah Volume Industri (TIV), Isuzu masih berupaya untuk meningkatkan bahagian pasaran dalam segmen kenderaan komersial sebanyak 37.1 peratus, berbanding 36.3 peratus pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Koji Nakamura berkata jenama Isuzu mampu berdiri teguh walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan ekonomi.

“Nilai jangka panjang ditawarkan dan kepercayaan pelanggan terhadap jenama Isuzu memainkan peranan penting.

“Ini dibuktikan melalui pengekalan Isuzu sebagai jenama pilihan kenderaan komersial pertama di Malaysia selama empat tahun berturut-turut,” katanya.

Katanya, selain kualiti yang kukuh dan kebolehpercayaan terhadap jenama, perkhidmatan cemerlang ditawarkan staf berpengalaman memastikan hubungan yang baik bersama pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 12:11 AM