PELUMBA drift profesional Jepun memukau penonton dengan aksi lagak ngeri.
BARISAN pelumba Vios Challenge bergambar bersama pengurusan UMWT sebelum perlumbaan.
PESERTA memeriksa jentera sebelum perlumbaan.
SEBAHAGIAN aksi sepanjang perlumbaan Vios Challenge.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Keadaan litar basah akibat hujan lebat pada hari pertama perlumbaan Vios Challenge sempena Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) di Medini City, Iskandar Puteri, Johor, minggu lalu, menyaksikan kereta keselamatan terpaksa dikeluarkan beberapa kali akibat insiden kemalangan.

Biarpun terpaksa bergelut di litar yang baru bagi semua pelumba, semangat kesukanan jelas terpapar apabila masing-masing cuba meraih kedudukan podium.

Aksi pintas-memintas, perlanggaran dan ‘perang psikologi’ adalah lumrah dalam perlumbaan yang menuntut setiap pelumba bersedia dari segi mental dan fizikal.

Penganjuran TGR dianggap sebagai ‘hadiah’ kepada peminat automotif tempatan kerana tidak saja dapat menyaksikan perlumbaan bertaraf antarabangsa, malah secara tidak langsung mengasah bakat pelumba amatur yang mahu berjinak dalam sukan berkelas tinggi ini.

Begitu juga aksi pelumba profesional dan selebriti yang sentiasa mendapat perhatian pengunjung terutama peminat masing-masing.

Sepanjang dua hari festival berkenaan berlangsung, lebih 25,000 pengunjung menghadiri festival yang kali pertama diadakan di Johor.

Ini adalah pusingan ketiga selepas MAEPS di Serdang, Selangor dan Batu Kawan, Pulau Pinang.

Selain mengetengahkan selebriti, Vios Challenge turut disertai pelumba amatur dan profesional tempatan.

Antara yang menarik sepanjang pusingan ketiga perlumbaan kali ini termasuklah kejutan bagi kategori Super Sporting apabila pelumba pasukan Laser Motor Racing, Keifli Othman menamatkan perlumbaan di tempat pertama, diikuti Tengku Djan Tengku Mahaleel (Team Nanoplus) dan Ho Wi Liam di kedudukan podium terakhir.

Bagi kategori Promotional pula, Shawn Lee masih menguasai pelumbaan kali ini, manakala pesaingnya, Shukri Yahaya, masih kekal di tempat kedua sementara Fattah Amin berjaya memperbaiki kedudukan di tempat ketiga.

Kategori khusus untuk selebriti ini turut disertai Diana Danielle, Janna Nick, Danny Koo, Geraldine Gan dan Venice Min.

Untuk kategori Sporting, Brendan Paul Anthony daripada pasukan Dream Chaser mengungguli tempat pertama, diikuti pelumba Hiewa Racing Team, Wong Chin Eeg sementara Kenneth Koh Keik Lum (Panglima City Racing Team) di tempat ketiga.

Hadir sama Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor), Akio Takeyama dan Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran.

Perlumbaan Vios Challenge yang memasuki pertengahan musim menyaksikan peserta daripada ketiga-tiga kategori berentap lebih sengit untuk merebut takhta kejuaraan di litar jalanan sepanjang 1.9 kilometer (km) yang menampilkan laluan lurus terpanjang setakat ini.

Selain menyaksikan perlumbaan daripada selebriti dan pelumba profesional serta amatur, pengunjung dapat melihat sendiri aksi hebat pertunjukan drift oleh juara dunia Masato Kawabata dari Jepun dan Drift Samurai, Takahiro Imamura.

Menggunakan jentera Toyota 86, aksi lagak ngeri itu sentiasa dinantikan penonton walaupun terpaksa menahan nafas menghidu getah tayar yang terbakar.

Pada masa sama, beberapa selebriti terkenal tanah air yang menyertai siri bas jelajah Media Prima daripada siri Drama Sangat seperti Nazrief Nazri, Intan Najwa, Adiba Yunos, Aishah Azman, Raja Afiq, Ruhainies, Zie Zainal dan Aliff Yasraff turut menghiburkan pengunjung, selain mengedarkan cenderahati.

Tidak ketinggalan kehadiran watak superhero seperti Ejen Ali dan Comot.

Sepanjang festival ini, orang ramai juga boleh melihat lebih dekat model kenderaan utiliti sukan (SUV)Toyota C-HR yang dijadualkan pelancarannya tahun ini, selain memenangi hadiah menarik termasuk cabutan bertuah sebuah Toyota Vios Sports Edition.

Selepas ini, aksi final di MAEPS pada Mac depan sudah pasti menjanjikan cabaran lebih sengit untuk merebut gelaran Raja TGR bagi ketiga-tiga kategori.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 4:10 AM