KHAIRUL Idham mengambil selekoh menggunakan jentera Honda RC213V-S.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Bagi peminat motosikal, impian mereka sudah pasti mahu menunggang jentera pelumba MotoGP tetapi kebiasaannya perkara itu hanya menjadi angan-angan semata-mata.

Begitu juga dengan penulis yang tidak pernah terlintas untuk menunggang uji motosikal berharga lebih RM1 juta di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Namun, baru-baru ini, Boon Siew Honda (BSH) menjemput media permotoran merasai sendiri kehebatan jentera RC213V-S, model sama digunakan pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez dalam perlumbaan MotoGP.

Mulanya memang berasa serba salah untuk menerima pelawaan BSH berikutan penulis tidak membawa sebarang peralatan menunggang ketika itu selain memikirkan ‘padah’ bakal dihadapi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di litar berkenaan, tambahan pula jentera berkenaan berharga lebih RM1 juta.

Namun, peluang tidak datang selalu dan kesempatan digunakan sepenuhnya untuk menguji ‘jentera jelmaan’ Marquez di SIC.

Media tempatan diberi peluang menguji litar sebanyak tiga pusingan yang dipimpin pelumba Mushasi Boon Siew Honda, Zaqhwan Zaidi dan pelumba Moto2, Khairul Idham Pawi daripada pasukan Idemitsu Honda Team Asia.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata.

Selepas selesai tiga pusingan, ternyata motosikal berkenaan bukan jentera sembarangan dan harga ditawarkan adalah berbaloi, terutama bagi mereka yang berjiwa pelumba.

Terdahulu, RC213V-S adalah replika jentera lumba RC213V ditunggang Marquez dalam persaingan MotoGP dan untuk kegunaan jalan raya, Honda Racing Corporation (HRC) hanya menghasilkan 250 unit RC213V-S di kilang Honda di Kumamoto, Jepun.

Jentera berkuasa tinggi ini dijana enjin titanium V-4 kompak DOHC bersesaran 999cc yang mampu menghasilkan 157 kuasa kuda (hp) pada 11,000rpm dengan daya kilas 102Nm pada 10,500rpm.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 4:04 AM