ENJIN 2.0L dengan pilihan dwitenaga.
KEMUDAHAN wmengecas dibina Mercedes-Benz di Bangsar Shopping Centre.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Kenderaan premium Mercedes-Benz E350e pemasangan tempatan (CKD) kini hadir dengan sistem Plug-in Hybrid (PHEV) yang menjimatkan penggunaan bahan api melalui teknologi dwikuasa.

Sesi pandu uji cabaran hibrid anjuran Mercedes-Benz Malaysia (MBM), baru-baru ini, menggunakan sistem pemanduan pintar untuk menguji penggunaan bahan api terbaik dari Johor Bahru ke Dungun, Terengganu.

Sebagai varian paling tinggi untuk model E Class, model ini didatangkan dalam dua varian iaitu AMG Line dan Exclusive Line selain Edition 60 yang diberi penarafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Empat mod pemanduan seperti Hybrid, E-Mode, E-Save dan Charge sebagai pilihan kepada pemandu sama ada untuk tujuan prestasi atau penjimatan.

Mercedes-Benz E350e dikuasakan enjin bersesaran 1,991cc empat silinder selari bersama transmisi automatik 9G Tronic menawarkan 286 kuasa kuda (hp) pada 5,500rpm dan tork 550Nm.

Jentera ini hanya mengambil masa 6.2 saat untuk memecut daripada kedudukan sifar sehingga 100 kilometer sejam (km/j).

Sepanjang perjalanan sejauh 490km, media melalui laluan lebuh raya dan jalan biasa dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.7 liter per 100km.

Penggunaan E-Mode dengan tenaga elektrik sepenuhnya membolehkan kenderaan ini bergerak sejauh 33km.

Model ini turut dilengkapi Air Body Control untuk memberi keselesaan tiga peringkat yang boleh dipilih antaranya Comfort, Sport dan Sport+.

Ruang dalaman dengan kemasan elegan seperti roda stereng sport AMG, kerusi kulit Nappa, sistem bunyi Burmester, prapenyaman udara dan paparan multimedia resolusi tinggi bersaiz 31.2 sentimeter (sm).

Antara ciri sporty lain ialah rim aloi lima jejari AMG 19 inci AMG, bumbung kaca panorama, kemasukan tanpa kunci, lampu hadapan multibeam, sistem suspensi Airmatic dan Bantuan Brek Aktif.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz E350e dijual pada harga bermula RM392,888 (Exclusive Line), RM395,888 (AMG Line) dan RM408,888 bagi varian Edition 60.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 3:47 AM