Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM
skrudanspanar@gmail.com


Setiap pagi ketika memanaskan enjin kereta, terdapat asap putih beserta air yang keluar daripada eksoz. Adakah ia normal atau bermasalah?

Syahir Abdul Rahim,

Sitiawan, Perak

Seperti yang diketahui umum, petrol adalah sejenis hidrokarbon terdiri daripada gabungan molekul hidrogen dan karbon. Pembakaran sempurna menggabungkan hidrogen dan oksigen serta menghasilkan air (H2O).

Jika ‘asap’ itu wap air atau asap di pagi yang sejuk dan menitis disebabkan pengumpulan wap air, itu tandanya pembakaran baik dan enjin masih mampu membakar campuran bahan api untuk menghasilkan wap air.

Asap ini akan mula berkurangan dan meruap akhirnya hilang apabila enjin semakin panas dan udara sekeliling turut meningkat suhunya.

Namun begitu, jika asap keluar adalah putih kebiruan dan masih berasap walaupun enjin panas atau dapat dilihat pada malam hari, itu tandanya minyak pelincir sudah memasuki kebuk pembakaran.

Ini memberi gambaran ada kerosakan serius pada enjin, cuma tahap kerosakan mungkin belum begitu berat dan masih mampu berfungsi.

Sentiasa periksa tahap minyak pelincir anda yang berkurangan dan elakkan daripada menurun di bawah tahap minimum serta memburukkan lagi keadaan.

Jika banyak air yang keluar dan masih keluar bila enjin sudah panas serta air dalam radiator berkurangan, ini juga tanda kerosakan serius seperti kebocoran gasket silinder yang mengakibatkan air masuk ke dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 3:43 AM