MEGA Gathering kelab pemilik Proton Wira Aeroback.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Sejak ditubuhkan pada 2012, Kelab Wira Aeroback Malaysia (WACM) aktif menganjurkan pelbagai aktiviti yang menghimpunkan semua pemilik Proton Wira Aeroback di negara ini.

Seperti sebelumnya, aktiviti perjumpaan mega adalah acara tahunan terbesar kelab dan untuk edisi keenam kali ini berlangsung di Pantai Indah Sea View Resort, Kuala Selangor.

Lebih 120 kenderaan Proton Wira daripada pelbagai generasi dari seluruh negara menyertai aktiviti berkenaan selepas dirancang lebih lapan bulan oleh ahli jawatan kuasa WACM.

Presiden WACM Wilayah Tengah, Muhamad Hanif Mohd Yunus berkata, sebagai menyambut ulang tahun keenam kelab, pihaknya mengadakan ‘Mega Gathering’ bertujuan bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim antara ahli.

“Ada yang sanggup datang dari Kelantan, Johor dan Kedah semata-mata mahu bertemu ahli dari negeri lain.

“Kali ini, bilangan peserta dianggarkan lebih 250 orang termasuk ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Muhamad Hanif berkata, WACM dibahagi kepada empat wilayah antaranya tengah, selatan, utara dan pantai timur.

“Kali ini, wilayah tengah menjadi tuan rumah selepas Pulau Pinang tahun lalu.

“Antara aktiviti diadakan selama tiga hari dua malam termasuk sukaneka, majlis suai kenal, mesyuarat agung tahunan dan majlis makan malam,” katanya.

Tambahnya pertemuan itu menjadi kesempatan terbaik dalam kalangan ahli untuk berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan teknikal serta alat ganti termasuk aksesori kenderaan.

“Selain menghias dan menjaga kereta, kami mementingkan disiplin serta menghormati pengguna jalan raya sebagai perkara wajib setiap ahli.

“Perancangan akan datang, kami bercadang mengadakan aktiviti ‘teh tarik’ (TT) lima penjuru di Muar, Johor, dengan berkonsepkan santai, sukaneka dan pertandingan ‘autoshow’ sesama ahli,” katanya yang memiliki 1,400 ahli seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 3:39 AM