MERCEDES-BENZ E200 Coupe AMG
Badrila Jamlus
jbad@hmetro.com.my


Persepsi pertama yang muncul dalam fikiran apabila menerima kunci kereta ini ialah Sporty, Mewah dan Ultra Moden. Ini kerana sebaik saja melihat pada reka bentuk luarannya sudah memadai bagi menterjemahkan ciri

sebenar kekuatan model tiga pintu yang berlambang tiga bintang ini.

Paling ketara logo emblem besar di tengah-tengah muncung hadapan kereta ini dan bampar hadapan yang sungguh sporty sudah cukup menarik perhatian sesiapa saja dan pasti memberikan laluan ketika jentera berwarna merah hati ini meluncur laju di lebuh raya.


REKA bentuk dinamik dengan saiz badan tegap.

Reka bentuk luarannya memang maskulin dengan garisan lentuk badannya dari hadapan hingga belakang amat sepadan dan kelihatan besar sepertimana kereta sedan.

Lampu LED yang terang pada waktu siang juga memberikan amaran bahawa model Mercedes-Benz E200 Coupe AMG Line ini sedang meluncur laju, selain mampu menguji tahap adrenalin seseorang setiap kali pedal minyaknya ditekan.


PERUMAH lampu belakang yang jelas pada waktu malam.

Ruang dalaman

Model E Class Coupe ini selesa dinaiki empat penumpang dan penumpang belakang juga mudah memasuki kereta ini kerana kerusi elektronik pemandu dan penumpang hadapan akan bergerak secara elektronik ke hadapan setiap kali kerusi ini ditolak.

Begitu juga apabila kerusi ini kembali secara elektronik dalam beberapa saat ke kedudukan asal selepas bahagian sandarnya ditolak ke belakang. Tidak dilupakan tali pinggang hadapan kereta ini secara automatik menjulurkan sebahagian talinya sedikit ke hadapan dan memudahkan pemandu atau penumpang memasangnya.


KERUSI depan larasan elektronik mudah diguna.

Rekaan sporty kerusi saduran kulit Nappa yang lembut dan jahitan halus memberikan nilai mewah kepada pemilik kenderaan ini ditambah paparan dua skrin LED besar yang masing-masing bersaiz 12.3 inci pada bahagian kokpit memperlihatkan ciri teknologi ultra moden model ini.

Apa yang menarik pada skrin ini semua maklumat mengenai kenderaan, navigasi, hiburan boleh dikawal dengan menggunakan butang kawalan sentuh ditengah-tengah tempat duduk pemandu hadapan. Penulis teruja apabila skrin paparan odometer berkomputer kereta ini boleh diubah menjadi tiga pilihan iaitu cita rasa Sport, Classic dan Progressive seumpama skrin pada jam pintar.


RUANG kokpit pemandu yang sarat dengan butang kawalan.

Setiap reka bentuk dalamannya dihasilkan secara terperinci dan tepat dengan menitikberatkan ciri mewah, sekali gus melambangkan status seseorang yang gemar memandu kenderaan dua pintu ini sama ada ke tempat kerja atau bersantai di hujung minggu bermain golf.

Sesuai dengan cuaca negara ini yang panas, corong pendingin hawa kereta ini cukup banyak, malah rekaannya cukup eksklusif seakan turbin udara dihiasi krom sesuai dengan gaya kereta ini. Terdapat tiga zon iklim dengan ciri Thermotronic yang membolehkan mod aliran udara diselarikan mengikut keperluan penumpang.

Pemandu dan penumpang hadapan boleh menentukan tahap kawalan suhu dan pengaliran pendingin hawa secara berasingan serta begitu juga dengan penumpang belakang.


PAPARAN odometer digital sepenuhnya.

Padanan sistem bunyi tiga dimensi (3D) jenis BurmesterÆ sudah cukup menghiburkan sepanjang perjalanan dengan butang kawalan di stereng memudahkan pemandu memberi tumpuan sepenuhnya di jalan raya.

Lampu ambiens LED yang menghiasi ruang dalaman kereta ini pula memberikan nilai sentuhan yang unik, malah boleh memilih sehingga 64 jenis warna mengikut selera atau mood anda. Hebat, bukan?

Kelebihan lampu ambiens menggunakan teknologi LED ini boleh diselaraskan mengikut tahap cahaya sama ada terang atau malap, malah boleh dipadam menerusi sistem multimedia yang disediakan.


PINTU dengan cermin tanpa bingkai.

Prestasi enjin

Mercedes-Benz E200 Coupe ini menggunakan enjin empat silinder sebaris dicas turbo dengan bersesaran 1,991cc yang mampu menyalurkan 184hp dengan tork mencecah 300Nm dan kelajuan maksimum boleh dicapai 240km/j.

Prestasi pecutan antara 0-100km/j hanya 7.8 saat dengan tahap penggunaan bahan api sedikit rendah iaitu 6 liter bagi setiap 100km.

Model 2017 ini dilengkapi transmisi automatik 9 kelajuan 9G-TRONIC memberikan keselesaaan kepada penukaran gear dan penjimatan kepada tahap penggunaan bahan api. Secara jujur untuk mencapai tahap penukaran gear penuh kepada sembilan kelajuan, anda harus memecut kenderaan ini lebih dari 130 kilometer sejam dan jika tidak, gear kereta ini akan kekal berada pada tahap lapan kelajuan.


ENJIN turbo empat silinder 16 injap yang menjimatkan minyak.

Suis tukaran gear Dinamik yang terletak ditengah-tengah konsul pemandu pula membolehkan anda memilih jenis pemanduan sama ada comfort, sporty, sport +, efisyen atau kustom mengikut karektor pemandu sendiri.

Ketika penulis mencuba jenis pemanduan sport + mendapati, sistem teknologi enjinnya bertindak secara responsif dengan dibantu sepenuhnya oleh sistem brek dan suspensi kawalan udara badan yang mampu memberikan cengkaman dalam setiap permukaan jalan raya yang dilalui.

Penukaran gear juga dapat dirasakan lebih pendek dan pantas, malah pemandu boleh menggunakan pedal tukaran gear pada stereng dengan mudah. Meskipun enjin kereta ini dikerah bekerja dengan lebih keras, ia sama sekali tidak memberi kesan kepada tahap penggunaan bahan api.

Sistem keselamatan

Sesuai dengan tanda harga kereta ini, sistem teknologi keselamatan yang ditawarkan tahap tertinggi yang meliputi sistem brek automatik yang bertindak balas membrek secara automatik sekiranya jarak kenderaan ini berada terlalu rapat dengan kenderaan hadapan.

Sistem amaran perlanggaran juga benar-benar responsif dengan memberi amaran bunyi yang jelas apabila kenderaan ini terlalu hampir dengan kenderaan hadapan.


SKRIN paparan kamera undur yang jelas.

Sistem brek kecemasan autonomous juga bertindak pantas membrek apabila pejalan kaki yang tiba-tiba melintas di hadapan ketika kenderaan ini berada di jalan raya. Sensor radarnya akan menilai kebarangkalian kemalangan yang boleh berlaku sekiranya pemandu tidak menumpukan perhatian terhadap pemanduan.

Model ini dilengkapi enam beg udara keselamatan, sistem kawalan kestabilan, sistem brek anti kunci (ABS) dan sistem agihan brek elektronik (EBD) serta sistem amaran titik buta.

MERCEDES-BENZ E200 COUPE AMG

• ENJIN: 1,991cc, turbo, empat silinder

• TRANSMISI: 9 G-TRONIC sembilan kelajuan

• KUASA MAKSIMUM: 184hp @ 5,500rpm

• TORK MAKSIMUM: 300Nm @ 1,200rpm

• CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, ABS, EBD, Dynamic Stability Control (DSC)

• PANJANG: 4,826 mm

• LEBAR: 1,860 mm

• TANGKI: 66 liter

• HARGA: RM435,888 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 2:10 AM