GAYA baru Yamaha MT-09.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Berkonsepkan ‘The Ultimate Street Fighter’, Yamaha MT-09 yang menjengah pasaran baru-baru ini, hadir dengan pelbagai teknologi termaju Yamaha yang dipertingkatkan daripada model sebelumnya.

Model hiper naked berkuasa 847cc sejukan cecair DOHC itu mula diperkenalkan di pasaran tempatan pada 2014 secara import sepenuhnya (CBU) sebelum ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) setahun kemudian.

Enjin tiga silinder menawarkan prestasi tork responsif memenuhi piawaian Euro 4 yang ditambah baik untuk kelancaran kuasa dan keseronokan menunggang.

Antara ciri terbaru Yamaha MT-09 2018 ialah sistem Penukar Gear Pantas (Quick Shifter), Klac Gelincir Berbantu (Slipper and Assist Clutch), Kawalan Cengkaman (Traction Control) dan Brek Anti Kunci (ABS).


PANEL meter digital pelbagai fungsi.

Ciri lain termasuk fork hadapan 41 milimeter (mm) boleh dilaras bagi peredam mampatan dan lantunan antara fork kiri dan kanan untuk prestasi lebih baik.

Bahagian lengan ayun juga dipasang pemegang nombor pendaftaran satu sisi aluminium dan lebih pendek untuk kelihatan kompak serta lampu brek LED.

Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM), Datuk Jim Khor berkata, model ini adalah pencapaian terbaik Yamaha dalam usaha menjadi jenama pilihan untuk keperluan tunggangan gaya hidup atau aktiviti hujung minggu.


PEMEGANG nombor pendaftaran satu sisi bergaya.

“Ciri terbaru ini memastikan kelebihan kepada pemilik dengan rekaan terkini dan ranggi,” katanya ketika majlis pelancaran.

Dilancarkan di Eropah tahun lalu, MT-09 yang diinspirasikan daripada model MT-10 menghasilkan kuasa 115PS pada 10,000rpm dan tork mencecah 87.5Nm pada 8,500rpm bersama transmisi enam kelajuan.

Tampil lebih agresif lampu hadapan LED berkembar dan meter digital LCD menjadikan jentera ini kelihatan lebih futuristik.


LAMPU hadapan LED.

Untuk pasaran tempatan, model ini dijual pada harga RM47,388 (tanpa insurans) dengan dua pilihan warna iaitu Hitam Tech dan Kelabu Night Fluo.

Model ini didatangkan dengan jaminan satu tahun atau 10,000 kilometer (km).

Terdahulu, HLYM turut memperkenalkan skuter Yamaha X-Max 250cc yang bakal dilancarkan Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 1:54 AM