GAYA klasik 1965.
Farith Zahir
metahad@hmetro.com.my

Kali pertama mengambil jentera ini di Ibu Pejabat Kawasaki Malaysia di Shah Alam, Selangor, penulis sudah teruja dengan rekaannya persis motosikal yang pernah popular pada era Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Tindakan bijak Kawasaki mengeluarkan model klasik yang diberi sentuhan moden, sedikit sebanyak memberi peluang dan ruang kepada individu yang mahu berjinak dengan motosikal retro.

Model ini dihasilkan bawah produksi siri W yang memiliki gaya retro klasik dan mula dikeluarkan pada 1965.

Bagi kos penyelenggaraan, penulis difahamkan, ia tidaklah semahal motosikal retro sebenar kerana W800 dilengkapi sistem terkini yang menyamai model terbaru di pasaran.


ENJIN berwarna hitam lebih elegan.

Ia memang berbeza berbanding motosikal lama yang menelan belanja tinggi, apatah lagi beberapa komponen perlu digantikan atas faktor usia. Dari segi luaran, motosikal retro moden ini disiapkan dengan rim jejari emas, ekzos berkembar dan enjin berwarna hitam.

Jika diperhatikan, jentera ini sebenarnya diterapkan dengan elemen British Classic, sekali gus mampu menyaingi seterunya seperti Triumph Bonneville dan Moto Guzzi V7 Classic Cafe Racer.

Meskipun motosikal ini tidak dilengkapi sistem sejukan cecair, susunan enjin berkembar selari ‘menaikkan’ seri elemen klasiknya.

Selain dipenuhi warna krom, reka bentuk tangki bahan api, lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan rekaan pelana menepati ciri-ciri sebuah jentera retro.


PENYERAP hentakan belakang lembut dan selesa.

Sepanjang tunggangan, penulis mendapati daya pecutannya perlahan tetapi reaksi enjin beransur lancar selepas mula bergerak. Sistem penyerap hentak pada bahagian belakang pula lembut tetapi bersesuaian untuk keselesaan tunggangan.

Secara keseluruhanya, prestasi Kawasaki W800 tidak mengecewakan dan penulis mengakui jatuh hati dengan kelembutan suspensinya, selain selesa ditunggang pada kelajuan sekitar 120 kilometer sejam (km/j).

Model ini dijual pada harga RM58,800 (tanpa insurans).

KAWASAKI W800

• ENJIN: 773cc 4 lejang V-Berkembar SOHC 8-Valve

• TRANSMISI: 5 kelajuan

• KUASA MAKSIMUM: 48 PS pada 6,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 60 Nm pada 2,500 rpm

• KAPASITI BAHAN API: 14 liter

• BERAT: 217kg (tanpa penumpang)

• HARGA: RM58,800 (termasuk GST atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 3:35 AM