RUANG dalaman elegan ciri sporty.
JERIJI hadapan AMG Panamericana.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Membuat kemunculan global hujung tahun lalu, Mercedes-AMG GT R yang memiliki DNA perlumbaan tetapi kegunaan jalan raya sudah berada di pasaran.

Dikuasakan enjin 4.0 liter V8 pengecas turbo berkembar suntikan terus, model ini menjana 585 kuasa kuda (hp) pada 6,250 rpm dan tork maksimum 700 Nm pada 1,900 hingga 5,500 rpm.

Dilengkapi transmisi dwi-klac tujuh kelajuan DCT Speedshift AMG dengan butang manual AMG Dynamic Select di konsol tengah seperti C (Comfort), S (Sport), S+ (Sport Plus), I (Individual) dan Race.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia (MBM) Mark Raine berkata, karakter prestasi daripada model AMG GT 3 dengan jeriji hadapan baru AMG Panamericana menyerlahkan gaya sporty sejati.

“Model ini adalah testimoni terbaik untuk kejuruteraan jenama AMG dengan kemampuan kelajuan maksimum 318 kilometer sejam (km/j), manakala catatan kepantasan daripada sifar hingga 100 km/j hanya 3.6 saat,” katanya.

Model ini juga dipasang dengan profil erodinamik aktif baru terletak di bahagian bawah enjin yang berfungsi untuk kestabilan ketika mod Race diaktifkan.

Jika melihat daripada sudut sisi, Mercedes-AMG GT R kelihatan lebih panjang dan padanan rim AMG 10 bersaiz 19 inci untuk roda hadapan dan 20 inci pada roda belakang menjadikannya lebih eksklusif.

Model pacuan belakang ini membolehkan roda belakang bergerak 1.5 darjah secara bertentangan dengan roda hadapan bagi memudahkan kawalan.

Kawalan Cengkaman AMG dengan sembilan larasan satu inovasi membolehkan penghantaran kuasa dan tahap gelinciran dikawal secara elektronik.

Ruang dalaman juga diberi sentuhan perlumbaan apabila didatangkan bersama tempat duduk AMG Performance, pakej AMG Interior Night, pedal penginjak, roda stereng, pemegang pintu warna gelap sebagai ciri standard serta kemasan AMG Interior Piano Lacquer dengan opsyen hitam gentian karbon.

Untuk pasaran tempatan, model ini dijual pada harga RM1.7 juta (tanpa insurans) bersama empat tahun waranti tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:19 AM