CLARITY FCV.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Siapa sangka satu hari nanti jalan raya seluruh dunia dipenuhi kenderaan hijau atau mesra alam dan tiada lagi jentera bertenagakan bahan api fosil.

Jika kenyataan ini dikeluarkan 30 tahun lalu, ia mungkin dipandang sinis kerana dunia ketika itu masih kaya dengan hasil sumber petroleum.

Walaupun ada kereta mesra alam diciptakan ketika itu, keupayaannya untuk menggantikan sepenuhnya kenderaan sedia ada masih meragukan banyak pihak. Bukan tiada jurutera mahir tetapi pandangan orang ramai yang kurang yakin terhadap kuasa enjin jentera mesra alam untuk kegunaan harian.


MEDIA memandu uji Clarity di Twin Ring Motegi, Jepun.

Ternyata perkara itu (mencipta kenderaan hijau) dipandang serius jurutera Honda sebelum syarikat automitf gergasi dunia itu menetapkan Visi 2030 sebagai tahun pengeluaran kenderaan hijau secara besar-besaran atau 60 peratus daripada keseluruhan model keluarannya.

Kesempatan penulis melihat, merasai dan memandu uji model Honda Clarity Fuel Cell Vehicle (FCV), Clarity Plug-in Hybrid (PHEV) di Twin Ring Motegi yang terletak di Tochigi Prefecture, Jepun, baru-baru ini, memang sangat dinantikan. Terima kasih kepada Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) kerana menjadikan kami antara rakyat Malaysia pertama merasai teknologi hijau Honda ini.


CLARITY FCV ketika dicas.

Walaupun sekadar memandu dua pusingan di kawasan Active Safety Park 2 terletak bersebelahan litar dengan tempoh kurang 10 minit, pengalaman merasai sendiri kehebatan teknologi masa depan Honda itu memang sukar dilupakan.

Serba ringkas mengenai kedua-dua model ini, Clarity FCV adalah kereta sedan menyamai model Accord yang digerakkan oleh bahan api sel hidrogen sepenuhnya.


SALUR mengecas Clarity PHEV.

Model ini mampu menawarkan kuasa maksimum 100kW dengan menjadikan bateri Lithium-ion sebagai tangki penyimpanan bekalan kuasanya. Bateri ini membolehkan kenderaan bergerak sejauh 700 kilometer (km) manakala hanya tiga minit tempoh diperlukan untuk isian penuh bahan api sel.

Clarity PHEV pula dikuasakan sistem hibrid dwi motor i-MMD bersama enjin 1.5L. Gabungan kedua-dua sumber kuasa ini membolehkan Clarity PHEV mencapai 181 kuasa kuda (hp) manakala tork maksimum 315Nm.

Selain dicas secara kinetik, pek bateri 17 kWh yang dibekalkan boleh dicaj semula menggunakan outlet 240 Volts.


SUMBER kuasa Clarity boleh diperbaharui menggunakan tangki mudah alih.

Keistimewaan Clarity PHEV adalah jentera ini boleh bergerak sejauh 68 km menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya atau keseluruhan 531 km sekiranya kedua-dua kuasa digunakan.

Sesi pandu uji kedua-dua model turut disertai jurutera Honda yang menerangkan serba sedikit mengenai kenderaan itu.

Sebaik enjin dihidupkan, tiada bunyi ngauman didengar melainkan paparan meter yang mula bercahaya menandakan sistem kenderaan sudah diaktifkan.


ENJIN Clarity PHEV menjanjikan kuasa 181 hp dan tork 315Nm.

Ketika pedal ditekan, memang terasa daya tujahan disalurkan seakan-akan enjin konvensional dan bukan enjin mesra alam. Namun yang membezakannya hanya kedengaran bunyi putaran roda, gema angin menerjah kenderaan manakala ekzos hanya mengeluarkan wap air hasil tindak balas kimia yang berlaku di dalam enjin.

Kawalan stereng dan suspensi daripada Honda tidak perlu dipertikaikan lagi apabila segala gegaran dari permukaan jalan diserap dengan baik.


ENJIN Clarity FCV berkuasa 100kW.

Ruang dalaman untuk kedua-dua model tidak jauh berbeza dengan model Honda sedia ada di pasaran ketika ini kecuali tiada tombol gear pada model ini. Segalanya menggunakan butang khas pada konsol tengah.

Susunan papan pemuka, keselesaan tempat duduk dan kelegaan kaki bercirikan futuristik Honda.


RUANG kokpit kemas dan tersusun.

Kemuncaknya, penulis dibawa menaiki jentera lumba Clarity FCV Racing Special secara ‘taxi ride’ oleh jurutera Honda merangkap pemandu uji kenderaan berkenaan. Oleh kerana ia jentera lumba, maka ruang dalamannya ‘ditiadakan’ bagi mengurangkan berat selain talaan suspensi yang lebih keras.


TIADA tombol gear yang digantikan dengan butang kawalan.

Tiada papan pemuka, panel pintu dan kemasan lain sehingga berat jentera berjaya dikurangkan hampir 300 kilogram (kg).

Ternyata, model mesra alam ini mampu membuatkan penumpang terdiri daripada rakan media ‘terhoyong-hayang’ ketika pemandu mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.


KAWALAN stabil di setiap selekoh.

Walaupun terseksa dengan situasi berlaku, pengalaman itu sangat mengujakan. Jarak dua pusingan di trek sepanjang hampir dua km itu seakan tidak mencukupi.

Model Carity sebenarnya sudah mula dijual di Jepun dan akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) tetapi pada skala yang kecil. Sekiranya mendapat sambutan, tidak mustahil pengeluarannya bertambah dari semasa ke semasa.


GARISAN krom menambahkan ciri premium Clarity PHEV.

Untuk pasaran Malaysia pula, tiada tarikh khusus model mesra alam ini akan dibawa masuk terutama FCV kerana ketiadaan fasiliti untuk teknologi berkenaan.

Namun demikian, HMSB memberi jaminan pihaknya sentiasa berusaha untuk membawa masuk lebih banyak model hijau, selaras dengan Visi 2030 dilaungkan Honda.


KELAJUAN jentera lumba Clarity FCV Racing Special tidak boleh dinafikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 2:37 AM