RAHIM bersama jentera miliknya.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Biarpun usianya sudah menghampiri separuh abad, namun minat dalam modifikasi kereta khususnya sistem audio tidak pernah padam.

Dikenali dengan jolokan Rahim Karhifi atau nama sebenarnya Abdul Rahim Jusoh, 48, sememangnya ‘otai’ dalam kalangan rakan audio apabila sudah lebih 12 tahun memiliki pengalaman dalam audio kereta.

Menggunakan Proton Satria 1999 dengan enjin bersesaran 1,600cc, jentera dua pintu itu sarat dengan sistem audio yang menghamburkan bunyi yang lunak dan padat.

Sudut luaran tampak bersahaja, namun apabila dua pintu dikuak, dalamannya sarat dengan sistem audio dengan pelbagai lampu aneka warna.

Menariknya, sistem audio jentera ini menggunakan hampir 80 peratus aksesori dari Thailand.


SARAT sistem audio dari Thailand.

Sistem audio ini dikawal dua pemain cakera utama daripada Philips dan Pioneer serta disokong power amp Zulex dan Ameron dan monoblog.

Seterusnya bunyi lantunan muzik dimainkan dari pemain cakera dihambur dua woofer X-Power berkuasa 1500 Watts.

Lantunan audio lebih jelas apabila dibantu 12 speaker Mid jenama Pro dari Thailand dan lapan unit tweeter.

Pelbagai lagi aksesori audio ditambah, namun antara yang menyerlah Skrin LCD bersaiz 32 inci yang jelas pada perumah khas di kerusi belakang yang bersambung dengan but belakang jentera.


PAPARAN meter pelbagai fungsi.

Walaupun mengutamakan kualiti audio, tetapi sudut pemanduan tetap dijaga.

Bahagian pemanduan tampak kemas dan bersahaja dengan dua kerusi bucket binaan khas selain beberapa meter pelbagai fungsi pada papan permuka.

Dengan kos modifikasi lebih RM20,000, ternyata usaha Rahim Karhifi berbaloi apabila kerap mengungguli pertandingan Kategori 2 Woofer termasuk pernah dinobatkan sebagai Best Of 2 Woofer.


SKRIN LCD 32 inci di tempat duduk belakang.

PROTON SATRIA 1.6 AUTO 1999

• Pemain cakera Philips dan Pioneer

• Power Amp Zulex dan Ameron (4 channel)

• 1 Monoblog

• 2 Woofer X Power 1,500 watts

• 6 Speaker Mid 6 Inci

• 6 Speaker Mid 6.5 inci

• 8 Tweeter

• 1 skrin LCD 32 Inci

• Kerusi bucket custom

• 3 meter tambahan pelbagai fungsi

• Kos modifikasi RM20,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 2:04 AM