GAYA tunggangan santai.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Rekaan gaya moden dan klasik menjadikan jenama motosikal Britain ini terus segar serta menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan jentera prestasi dalam tunggangan santai.

Antara model yang mendapat perhatian ialah Triumph Bonneville T120 yang juga dikenali sebagai ‘Bonnie’ dihasilkan sebanyak tiga generasi dalam tiga tempoh waktu berbeza iaitu 1959 hingga 1983, 1985 hingga 1988 dan 2001 sehingga kini.

Penulis berpeluang menunggang uji model terbaru yang disediakan oleh pengedar utama jenama Triumph di negara ini, Fast Bike Sdn Bhd di Petaling Jaya untuk mengetahui pengalaman dan kelebihannya.

Model berinspirasikan rekaan asal tahun 1959 ini masih mengekalkan ciri-ciri utama seperti elemen krom dan ekzos berkembar, sering menjadi tumpuan ramai sepanjang sesi tunggang uji dilakukan.


EKZOS berkembar.

Namun bak kata pepatah ‘jangan hanya menilai buku daripada kulitnya’ model ini walaupun kerangkanya berbentuk klasik, tenaganya adalah hasil teknologi moden seperti yang ada pada motosikal berkuasa tinggi lain dalam pasaran.

Di bawah tangki, ia dimuatkan dengan enjin berkuasa 1,200cc lapan injap SOHC silinder berkembar selari dengan suntikan bahan api terus serta penyejuk cecair sesuai dengan kemajuan teknologi dan kejuruteraan.

Sebaik mendapat kunci dan menunggangnya penulis mudah sekali menyesuaikan diri dengan motosikal ini sekali gus menawarkan keseronokan kuasa dalam kawalan.

Menyusuri Lebuhraya Persekutuan dan di pusat bandar Kuala Lumpur dengan kesesakan jalan raya, Bonneville T120 mudah melepasinya di celah-celah kenderaan hasil kelancaran enjin yang baik pada pelbagai kelajuan.

Kelajuan yang konsisten dengan kuasa kuda 80PS pada 6,550rpm adalah 18 peratus lebih tinggi daripada generasi sebelumnya dan daya tork 105Nm pada 3,100rpm juga mengalami peningkatan sebanyak 54 peratus sangat responsif untuk laluan pendek atau lurus yang panjang.



SISTEM penyejukan cecair.

Pendikit daripada ‘ride by wire’ menjadikan kawalan minyak dengan baik terhadap enjin dan secara efisien menghamburkan tenaga pada kelajuan tinggi dan rendah melalui kotak gear enam kelajuan serta klac bantu-tork.

Posisi menunggang yang santai termasuk jarak pemegang 785 milimeter (mm) menjadikan perjalanan jauh tidak terasa sengalnya pada badan selain dibantu rekaan pelana setinggi 790mm sesuai untuk pelbagai ketinggian penunggang.

Menguji di atas lebuh raya untuk perjalanan jauh sangat menyeronokkan dengan prestasi enjin dan tempat duduk yang selesa menjadikan perjalanan tidak terasa sebaik tiba di destinasi.

Tangki bahan api 14.5 liter mampu membawa jentera ini untuk perjalanan sejauh 260 kilometer (km) bergantung pada cara seseorang individu itu menunggangnya.

Menyentuh aspek rekaannya pula, ia dibina di atas kerangka tubular steel cradle sebagai ciri ikonik jenama ini dengan elemen krom antara elemen utama yang menyerlahkannya.


METER gabungan analog dan digital.

Dua meter berkembar terpisah ciri klasik analog dan digital sangat membantu memudahkan perjalanan dengan paparan maklumat seperti jarak, kelajuan, rpm, trip, kedudukan bahan api, mod tunggangan, jam dan kawalan cengkaman.

Lampu hadapan bulat menyerlahkan gaya klasik dengan lampu nyalaan siang (DRL) menyuntik elemen moden yang mudah untuk dilihat pada pelbagai cuaca serta pencahayaan yang baik pada malam hari.

Lampu belakang LED dan isyarat terpisah mengekalkan ciri asal bukan sahaja jelas malah ia dilengkapi dengan lampu kecemasan hadapan dan belakang yang sangat berguna jika diperlukan.

Roda 32 jejari bersaiz 18 inci hadapan dan 17 inci untuk belakang menawarkan gaya sebuah cruiser dan saiz tayar 100/90 (hadapan) serta 150/70 (belakang) untuk kestabilan terutama sekali melalui selekoh.

Fork hadapan 120mm serta penyerap hentakan belakang daripada KYB dengan larasan prabebanan berfungsi baik memberikan keselesaan kepada penuggang dan pembonceng terutama ketika melalui jalan tidak rata.

Sambungan pengecas USB ada di bawah tempat duduk, namun ia memerlukan wayar tambahan untuk membolehkan ia digunakan secara normal serta dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain boleh ditukar ketika motosikal bergerak.

Sistem brek Anti-Kunci (ABS) dengan dua angkup Nissin untuk cakera hadapan berkembar 310mm dan belakang cakera tunggal 255mm untuk keselamatan terbaik serta terbukti berkesan ketika situasi di mana penulis perlu memberhentikan motosikal apabila kenderaan di hadapan membrek secara tiba-tiba.


PENGECAS dan sambungan USB.

Secara keseluruhan Triumph Bonneville T120 jentera yang sesuai buat mereka yang gemarkan tunggangan santai namun boleh menjadikan ia untuk tujuan prestasi.

Tenaga yang berterusan dan lancar pada pelbagai kelajuan menjadikan ia mudah untuk dikawal dengan posisi menunggang yang santai menjadikan perjalanan penulis lebih mengasyikkan.

Buat mereka yang gemarkan gaya, model ini sesuai untuk anda padankan fesyen kegemaran sama ada smart kasual atau hipster menjadikan tunggangan hujung minggu anda bersama rakan lebih menarik.

Untuk pasaran Malaysia ia didatangkan dengan model import sepenuhnya (CBU) dari Thailand dijual pada harga bermula daripada RM72,900 dengan tujuh pilihan warna dan waranti dua tahun tanpa had perbatuan.

TRIUMPH BONNEVILLE T120

• ENJIN: 1,200cc sejukan cecair, SOHC

• KUASA MAKSIMUM: 80PS pada 6,550rpm

• TORK MAKSIMUM: 105Nm pada 3,100rpm

• KAPASITI PETROL: 14.5 liter

• CIRI KESELAMATAN: Sistem brek Anti-Kunci (ABS) dan mod tunggangan Road dan Rain

• HARGA: RM72,900 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 10:00 AM