ALL New Civic Type-R yang pasti digilai peminat automotif tempatan
HM Digital

Dinobatkan sebagai kereta pacuan dua roda hadapan (FWD) terpantas di Litar Nurburgring, Jerman, akhirnya Honda Malaysia mengesahkan akan membawa masuk All New Honda Civic Type R dan tempahan untuknya kini dibuka.

Jentera yang juga mendapat jolokan nama FK8R ini dikuasakan enjin 2.0 liter VTEC Pengecaj Turbo yang menjanjikan kuasa maksimum 310PS pada 6,500 rpm manakala tork maksimum pula hingga 400Nm pada 2,500 rpm hingga 4,500 rpm.

Padanan transmisi manual enam kelajuan sudah pasti memikat hati individu yang gemarkan pecutan seakan jentera lumba. Namun, model ini juga dipadankan bersama tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Sport dan +R, yang disesuaikan dengan gaya pemanduan sama ada di jalan raya atau litar lumba.


REKAAN All New Civic Type-R berdasarkan model Civic Hatchback.

Antara ciri menarik yang ada pada All New Civic Type R yang dibangunkan daripada model Civic Hatchback ini termasuk 3-Way Exhaust System yang memberikan ‘ngauman’ lebih garang.

Pada kelajuan rendah hingga sederhana, ekzos mengeluarkan bunyi yang garang manakala pada putaran enjin lebih tinggi, kadar bunyi dikurangkan bagi keselesaan pemandu.


SISTEM ekzos termaju daripada Honda.

Keempat-empat roda pula dipadankan bersama sistem brek Brembo berprestasi tinggi.

Ciri keselamatan yang ada termasuk enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Tekanan Brek Elektronik (EBD).

Jentera Type R adalah nama khusus untuk kereta perlumbaan ikon Honda dan mula diperkenalkan kepada umum pada 1992. Siri Type R lazimnya lebih ringan, berprestasi tinggi dan kawalan lebih baik berbanding model biasa.

Mereka yang berminat boleh membuat tempahan di beberapa pengedar sah Honda di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 12:11 AM