TIADA masalah untuk mengharungi jalan biasa dan berliku.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Menceritakan mengenai model Honda popular, City mungkin menjadi pilihan ramai berikutan bentuk, prestasi, gaya dan kemewahan yang ada pada jentera berkenaan.

Sebagai nilai tambah, pengenalan model hibrid membolehkan orang ramai memiliki kenderaan yang bukan saja bergaya, malah terbaik dalam aspek penjimatan bahan api.

Peluang memandu uji Honda City Hybrid (i-DCD) ke pantai timur, baru-baru ini, membolehkan penulis mengenali lebih dekat fungsi hibrid termaju daripada syarikat automotif gergasi Jepun ini.

Untuk pengetahuan pembaca, Malaysia menjadi negara luar pertama yang menerima rangkaian kuasa hibrid baru ini selepas Jepun.


PENGAMAL media bersedia memandu uji Honda City Hybrid i-DCD.

Model City Hybrid ini menjadi model hibrid kedua selepas Civic Hybrid dan Insight, namun sistem Hybrid Intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD) adalah yang termaju.

Secara kasarnya, bentuk luaran varian ini tidak banyak berbeza dengan varian S, E dan V. Lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang LED dan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci, selain lekuk sisi meruncing dari perumah lampu belakang hingga ke cermin sisi adalah identiti City.


HONDA City Hybrid i-DCD lancar menyelusuri LPT.

Antena ‘shark fin’ menambahkan lagi gaya model terbaru ini. Yang membezakannya adalah bateri Intelligent Power Unit (IPU) yang terletak di bahagian but belakang, namun ruang but masih sama seperti varian lain iaitu 536 liter.

Menerjah ke ruang dalaman, prinsip reka bentuk Honda dikenali sebagai ‘Man Maximum, Machine Minimum’ yang memaksimumkan ruang pemandu, penumpang dan barangan ternyata ada benarnya.

Ruangan kokpit disusun kemas dan mudah dicapai pemandu atau penumpang. Bahagian tengah dipadankan skrin 6.8 inci pelbagai fungsi menghiasi papan pemuka, manakala kawalan pendingin hawa automatik sepenuhnya.

Tombol gear juga lebih kecil dengan pemegang bujur memudahkan pemandu. Butang penghidup enjin adalah ciri standard untuk semua varian City.


TOMBOL gear yang memudahkan pemandu.

Paparan meter multi-informasi 3D pula jelas dan ringkas apabila tersusun rapi dalam tiga bahagian dengan ruang kiri memaparkan informasi berkaitan kuasa hibrid seperti aliran kuasa, kadar penjimatan bahan api, maklumat pemanduan dan mod ECO.

Penumpang belakang juga dibekalkan dengan corong pendingin hawa di konsol tengah, manakala ruang lega kaki dan kepala yang selesa seperti kereta segmen C walaupun City adalah kereta segmen B.


PAPARAN meter 3D pelbagai fungsi.

Ternyata perjalanan sepanjang menyusuri Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) dan LPT 2 lebih selesa dengan ruangan kabin lebih senyap.

City Hybrid dijana enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar (i-DCD) tujuh kelajuan bersama motor bersepadu berkuasa tinggi.

Teknologi i-DCT menggunakan sistem penukaran gear Shift-by-Wire Gear yang menawarkan maklum balas lebih pantas dan lancar. Padanan ini membolehkan enjin menghasilkan kuasa sehingga 137PS dan tork 170Nm yang menyamai enjin 1.8 liter.

Tidak hairanlah jentera ini mampu memecut sehingga kelajuan melebihi 180km/j di lebuh raya. Secara umumnya, purata penggunaan bahan api direkodkan cuma 3.9L/100km apabila pemanduan normal.

Ini kerana, enjin dwi-kuasa ini turut dilengkapi Idle Stop yang membolehkan bekalan tenaga hibrid disalurkan sepenuhnya tanpa membabitkan petrol bertujuan menjimatkan bahan api.


BUTANG ECO untuk penjimatan bahan api.

Sepanjang tempoh ini, pendingin hawa masih berfungsi seperti biasa kerana unit kompresor dikawal secara elektronik sepenuhnya.

Electric Servo Brake System akan mengecaj semula bateri bagi membolehkan bekalan kuasa sentiasa ada apabila diperlukan. MacPherson Strut pada roda hadapan dan Torsion Beam di bahagian belakang pula memastikan kawalan serta segala permukaan jalan raya mampu diserap dengan baik.

Tidak sempurna jika tiada peningkatan dalam aspek keselamatan. City Hybrid ini hadir dengan empat beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), kamera undur pelbagai sudut dan Emergency Stop Signal (ESS) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).


RIM 16 inci dua tona.

Posisi gear juga bergerak ke mod Parkir secara automatik sekiranya mengesan tali pinggang keledar dan pintu hadapan pemandu dibuka.

Pada tanda harga RM89,200 tanpa insurans, Honda City pasti mampu mengekalkan dominasinya dalam segmen B tetapi dengan tambahan kuasa hibrid yang lebih menjimatkan. Tiga warna ditawarkan iaitu perak, kelabu dan putih.

HONDA CITY HYBRID i-DCD

• ENJIN: 1,496cc Empat Silinder 16 Injap DOHC i-VTEC

• SISTEM BAHAN API: Electronic Fuel Injection (PGM-FI)

• TRANSMISI: Tujuh kelajuan klac berkembar (DCT)

• KUASA MAKSIMUM: (Enjin) 110PS@6,000rpm, (Motor) 30PS @1,313 hingga 2,000rpm

• TORK MAKSIMUM: (Enjin) 134Nm@5,000, (Motor) 160Nm@0 hingga 1,313rpm

• CIRI KESELAMATAN: Empat beg udara, ABS, VSA, ESS, HSA dan kamera undur pelbagai sudut

• HARGA: RM89,200 tanpa insurans

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 12:01 AM