HONDA NSS300.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Rekaan futuristik dengan pakej keselesaan dan prestasi menjadikan model skuter saiz pertengahan premium Honda NSS300 berada dalam kelas tersendiri.

Andai hanya menganggap ia sekadar skuter biasa untuk kegunaan harian maka persepsi itu akan berubah sebaik menunggang model yang mula memasuki pasaran tempatan pada 2014 ini.

Dalam sesi TUNGGANG UJI baru-baru ini yang disediakan oleh Boon Siew Honda, pada mulanya saya hanya menjangkakan untuk tunggangan santai namun bertukar menjadi prestasi sebaik memulas pendikitnya.


REKAAN moden dan bergaya.

Motosikal itu juga dikenali sebagai Honda Forza 300 untuk jualan di Thailand dan Eropah sudah berada dalam pasaran global sejak 17 tahun lalu, sesuai untuk golongan eksekutif muda atau mereka yang berpengalaman dalam dunia permotoran.

Menyentuh pada sudut penggayaan, skuter ini mempunyai rekaan moden serta aerodinamik dan jika dilihat dari hadapan pada lampu halogen berkembar, ia seakan motosikal berkuasa tinggi.


TAMPIL ciri aerodinamik.

Kerangka diperbuat daripada besi ringan yang teguh memudahkan kawalan yang pantas dalam trafik sama ada ketika menempuh kesesakan jalan raya atau di lebuh raya.

Fork teleskop 35 milimeter (mm) hadapan dan dua penyerap tekanan belakang pada lengan ayun aluminium menjanjikan keselesaan dan kestabilan.


SISTEM penyejukan cecair.

Lampu belakang rekaan yang menarik dan jelas untuk sebarang cuaca meneruskan kesinambungan keseluruhan rekaan yang mantap dengan konsep aerodinamik.

Kelompok meter analog untuk kelajuan, rpm, suhu dan tahap bahan api serta digital yang memaparkan maklumat perjalanan, waktu, odometer dan jarak penggunaan bahan api.


KELOMPOK meter analog dan digital.

Untuk keselamatan, motosikal dipasang Sistem Keselamatan Penyalaan Honda (HISS) sebagai ciri standard bagi mencegah berlakunya kecurian tanpa ada salah satu kunci asal.


PELANA selesa.

Ruang storan 62 liter di bawah tempat duduk mampu memuatkan dua topi keledar dan barangan peribadi lain serta pada bahagian hadapan ada dua laci simpanan yang dilengkapi soket 12V bagi mengecas telefon bimbit.


DILENGKAPI soket pengecas 12V.

Dilengkapi enjin 297cc sejukan cecair, ia ternyata bertenaga untuk kelajuan tinggi serta mudah dikawal jika menunggang dalam kelajuan sederhana dengan kuasa kuda 25PS pada 7,500rpm dan tork pada 26Nm pada 5,000rpm.


ENJIN 297cc lancar dan responsif.

Menawarkan penjimatan bahan api, secara purata penulis berupaya mencatatkan perjalanan sejauh 20 kilometer (km) untuk satu liter dengan kapasiti tangki petrol penuh 11.6 liter baik bagi perjalanan sejauh 220km.

Walaupun kelajuan maksimum pada meter sehingga 160km/jam (j), penulis berjaya mencapai sekitar 150km/j di atas lebuh raya dan ia berdaya lebih daripada itu.

Oleh kerana pantas, NSS300 dilengkapi Sistem Brek Bergabung (CBS) yang menghubungkan brek cakera hidraulik belakang dan hadapan untuk kepantasan membrek serta Brek Anti Kunci (C-ABS) bagi kawalan dan memberhentikan skuter dengan lebih stabil.


BREK cakera dengan C-ABS.

Transmisi automatik CVT dengan suntikan bahan api PGM-FI tidak sahaja menjadikan ia efisien malah memenuhi standard Euro 3 untuk pelepasan emisi rendah pada enjin.

Secara keseluruhan, Honda NSS300 boleh disimpulkan sebagai skuter yang lengkap pada segenap sudut terutama bagi mereka yang mahukan kenderaan mudah dan bergaya.

Sesuai untuk kegunaan harian ke tempat kerja, mengharungi kesesakan jalan raya dalam bandar dan selesa untuk perjalanan jarak jauh, ia memang jentera praktikal.


SESUAI untuk tunggangan jarak dekat atau jauh.

Ruang simpanan yang luas memudahkan pengguna terutama bagi menyimpan topi keledar atau baju hujan serta barangan lain bagi melindungi daripada panas atau hujan.


RUANG simpanan 62 liter.

Posisi menunggang yang santai termasuk pelana dua ketinggian membolehkan penunggang bersandar merehatkan pinggang dan penumpang juga selesa terutama jika tunggangan membabitkan jarak jauh.

Enjin 300cc sememangnya pantas dan bertenaga sering dicemburui oleh motosikal pelbagai segmen lain yang ada kalanya tidak dapat mengejar skuter ini di lebuh raya.

Didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Putih Himalaya Mutiara, Metalik Perak Seal dan warna baru 2017 iaitu Biru Laut Caribbean Candy dijual pada harga bermula daripada RM30,727 termasuk GST dengan dua tahun waranti pengeluar atau 20,000km.

* Pemaparan ini boleh ditonton hari ini dalam segmen Vroom Berita TV9, siaran 12 tengah hari dan 8 malam.

INFO

HONDA NSS300

• Enjin: 279cc, sejukan cecair SOHC tunggal 4 lejang

• Kuasa maksimum: 25PS pada 7,500rpm

• Tork maksimum: 26Nm pada 5,000rpm

• Transmisi: Automatik

• Kapasiti tangki: 11.6 liter.

• Ciri keselamatan: Sistem Brek Bergabung (CBS) dengan Brek Anti-Kunci (C-ABS)

• Harga: RM30,727 (asas termasuk GST)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 12:19 AM